PRN Sabah: AMT PBS tak setuju kerjasama dengan BN -Joachim

PENAMPANG - Pemangku Presiden PBS, Datuk Seri Joachim Gunsalam mendedahkan bahawa majoriti Ahli Majlis Tertinggi (AMT) parti itu menolak untuk menjalin kerjasama dengan UMNO dan Barisan Nasional (BN) dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17).

Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa PBS akan terus kekal bersama dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) untuk PRN tersebut.

Menurut beliau, keputusan itu dicapai dalam Mesyuarat AMT PBS yang turut membincangkan pelbagai isu penting dan hala tuju strategik parti.

“Pendirian kami jelas. PBS akan terus bekerjasama dalam gabungan GRS. Kami komited terhadap kerjasama politik ini menjelang PRN17.

"Namun dalam masa sama, majoriti AMT tidak bersetuju untuk bekerjasama dengan UMNO dan BN," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat tersebut di sini pada Rabu.

Joachim dalam pada itu turut menegaskan komitmen parti untuk terus memperkukuh hubungan dan kerjasama bersama komponen GRS lain, iaitu Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) yang dipimpin Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan.

"Kami percaya bahawa perpaduan dalam kalangan parti tempatan amat penting demi kestabilan politik dan kesinambungan pembangunan di Sabah. Hubungan kami dengan STAR akan terus diperkukuhkan," katanya.

Selain itu katanya, AMT turut membincangkan tahap kesiapsiagaan untuk menghadapi pilihan raya dan usaha jentera di akar umbi yang sedang giat dijalankan bagi memperkukuh sokongan terhadap PBS menjelang PRN.

"PBS akan terus memperjuangkan kepentingan rakyat tempatan, hak pribumi serta memastikan suara Sabah didengari dalam hal ehwal peringkat nasional melalui pendekatan politik yang membina.

"Oleh itu, semua ahli parti diharap kekal bersatu dan terus berpegang teguh kepada perjuangan PBS, selain bersiap sedia sepenuhnya menghadapi pilihan raya dengan keyakinan," tegasnya.

Sebelum itu, mesyuarat tersebut turut dihadiri Penasihat Utama PBS, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan, yang memberikan pandangan serta nasihat berhubung hala tuju strategik parti.

"Tan Sri Pairin berkongsi pandangan yang sangat bernilai semasa mesyuarat Biro Politik.

"Panduan beliau mengenai hala tuju PBS kekal penting dalam kepimpinan parti," katanya.