SHAH ALAM - Kerajaan digesa menilai semula prosedur operasi standard (SOP) keselamatan di institusi pengajian tinggi swasta (IPT) susulan seorang penuntut universiti swasta di Cyberjaya ditemui maut dipercayai dibunuh dalam bilik asramanya pada Selasa.
Ketua Portfolio Pendidikan Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, penambahbaikan itu termasuk sistem kawalan keselamatan, akses kampus dan kerjasama dengan pihak berkuasa.
"Saya merakamkan ucapan takziah yang mendalam kepada keluarga penuntut IPT swasta di Cyberjaya yang maut dalam insiden tragik semalam. Kejadian ini amat menyayat hati dan menimbulkan kebimbangan serius berkaitan keselamatan pelajar di IPT swasta.
"Saya menggesa agar siasatan penuh dan telus dijalankan segera dan keadilan ditegakkan untuk mangsa serta keluarganya," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Sinar Harian pada Khamis melaporkan, penuntut wanita berusia berusia 20 tahun berasal dari Sarawak ditemukan maut oleh rakan serumah dengan kesan kecederaan di kepala kira-kira jam 10 pagi.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Bahaman berkata, siasatan di lokasi kejadian mendapati, tidak terdapat sebarang kesan pecah masuk ke atas kediaman tersebut.
Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, keselamatan pelajar di negara ini perlu dijadikan sebagai keutamaan mutlak.
Katanya, tragedi malang itu tidak boleh dipandang ringan dan tindakan segera perlu diambil bagi mengelakkan kejadian seumpamanya berulang.