KUANTAN- Pendirian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang tegas tidak mahu pelajar-pelajar terlibat dalam 'Himpunan Gempur Rasuah Sabah 2.0' dikenakan tindakan buang universiti mencerminkan nilai keterbukaan beliau dalam menjunjung prinsip demokrasi serta kebebasan bersuara.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semambu, Chan Chun Kuang berkata, pendirian Anwar itu juga mengimbau kepada asal-usul perjuangan reformasi yang lahir dari jalanan, berlandaskan semangat keberanian menuntut kebenaran dan menolak kezaliman pentadbiran yang menyalahgunakan kuasa.
Menurutnya, tujuan utama perhimpunan tersebut adalah untuk menyuarakan tentangan terhadap rasuah, satu masalah yang telah lama mencengkam sistem pentadbiran negara dan merugikan rakyat.
"Usaha untuk membanteras rasuah apatah lagi yang digerakkan anak muda seharusnya disambut dengan sokongan dan ruang dialog, bukan dengan siasatan, pendakwaan atau tindakan disiplin.
"Sebagai parti yang lahir daripada gelombang reformasi dan perjuangan jalanan, parti pemerintah hari ini mempunyai kekuatan, kestabilan dan ruang kebijaksanaan untuk menangani perbezaan pandangan dengan cara yang matang," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Chun Kuang berkata, seharusnya perbezaan itu ditangani dengan tidak mengulangi gaya pemerintahan lama yang menindas suara anak muda melalui tekanan dan intimidasi.
"Saya berpendirian siasatan serta pendakwaan terhadap para aktivis mahasiswa yang terlibat dalam perhimpunan awam harus dihentikan serta-merta.
"Akta Perhimpunan Aman 2012 dan Akta Hasutan 1948 juga wajar dikaji semula dan digubal agar lebih menjamin hak asasi serta kebebasan bersuara rakyat," ujarnya.
Bagi beliau, menjadi lumrah kepada generasi muda untuk bersikap kritis, melawan arus perdana dan mencabar status quo.
Menurutnya, tindakan mahasiswa itu bukan satu ancaman malah ia harus dilihat sebagai isyarat dan cerminan sihat bagi pihak berkuasa agar terus berpijak di bumi nyata, bersikap inklusif dan memastikan tidak ada suara yang dipinggir dalam usaha membina negara yang adil, telus serta progresif.
"Kita harus menggalakkan semangat partisipasi anak muda dalam demokrasi termasuk berani menegur, bertanya, dan bersuara kerana hanya dengan cara itu negara ini akan terus matang dan maju.
"Saya berharap institusi pengajian tinggi dan pihak berkuasa dapat menzahirkan semangat ini secara konsisten, mengangkat suara mahasiswa, bukan menekannya," katanya yang menyambut baik atas ketegasan perdana menteri dalam isu mahasiswa itu.