Pas beri amaran ambil tindakan disiplin ahli pertikai pelantikan Leftenan Jeneral ATM

SHAH ALAM - Pas melahirkan rasa kesal dengan kenyataan dikeluarkan seorang pemimpin Pas Kawasan yang mempersoalkan pelantikan Datuk Johny Lim Eng Seng sebagai Leftenan Jeneral Angkatan Tentera Malaysia (ATM) baharu.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, pandangan Yang Dipertua Pas Sungai Buloh, Zaharuddin Muhammad itu bukan hanya tidak mewakili parti, malah bertentangan dengan dasar dan Perlembagaan Pas.

"Sikap perkauman atau rasisme dalam apa jua bentuk dan warnanya tidak ada tempat dalam Pas, selain tidak cocok dengan budaya besar dan cita-cita kebangsaan negara ini.

"Pelantikan Datuk Johny Lim Eng Seng sebagai Leftenan Jeneral ATM adalah peristiwa bersejarah yang sepatutnya diraikan oleh semua rakyat, bukannya dipersoal dan diperlekeh semata-mata kerana latar belakang kaumnya," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Terdahulu, media melaporkan Zaharuddin mempersoalkan pelantikan Johny Lim sebagai Leftenan Jeneral ATM semata-mata hanya kerana beliau berketurunan Cina.

Mengulas lanjut, Takiyuddin berkata, kebolehan, pencapaian, kemajuan dan kejayaan mana-mana anak Malaysia dalam apa jua bidang adalah berita gembira untuk semua, bukan sebaliknya.

Berikutan itu, Pas akan terus memberi peringatan supaya ahlinya kekal cermat dan berhati-hati dalam sebarang tindakan masing-masing.

"Justeru Pas tidak teragak-agak mengambil tindakan tatatertib terhadap ahli-ahlinya yang melanggar disiplin parti termasuk tingkah laku tidak sensitif yang mencemari cita-cita perpaduan negara dan menimbulkan rasa tidak harmoni serta syak wasangka dalam masyarakat," katanya.