BN Sabah tak perlu 'orang tengah' runding dengan GRS - Bung Moktar

KOTA KINABALU - Barisan Nasional (BN) Sabah tidak memerlukan ‘orang tengah’ untuk mengadakan rundingan dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berhubung hasrat kerajaan Persekutuan agar kerjasama antara BN-Pakatan Harapan (PH) dan GRS dapat direalisasikan menjelang Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17).

Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin menegaskan bahawa walaupun kerjasama dengan PH telah dijalinkan, sebarang perbincangan dengan GRS akan ditentukan sendiri oleh BN Sabah.

“Mereka boleh bekerjasama, kita pun boleh bekerjasama dengan PH. Tetapi saya dengan GRS, itu biar kita bincang. Saya tidak perlu orang tengah,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri majlis penutupan Konvensyen Pemerkasaan Kepimpinan Luar Bandar Madani di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), pada Isnin.

Beliau yang juga Pengerusi BN Sabah turut mengulangi pendiriannya bahawa kerjasama hanya akan dipertimbangkan sekiranya GRS menunjukkan ketelusan dan keikhlasan dalam menjalin hubungan politik.

“Saya sudah jelaskan berpuluh kali, saya hanya akan mencari parti kerjasama yang ada ketelusan dan keikhlasan serta tidak kuat menipu. Kalau parti suka menipu, bagaimana mahu bekerjasama?

“Bukan tidak mahu (kerjasama), kalau mereka berubah menjadi parti yang ikhlas, mungkin saya akan pertimbangkan. Tapi kalau tidak berubah, itu mustahil,” katanya.

Diminta mengulas lanjut maksud “keikhlasan” yang ditekankannya, Bung Moktar menjelaskan bahawa mana-mana pihak yang memungkiri janji akan menyukarkan sebarang rundingan untuk dicapai.

“Keikhlasan bermaksud, kalau kita setuju, kita tidak boleh ingkari. Kata mesti dikota, janji mesti ditepati. Begitu caranya, supaya rakyat tidak marah. Syarat utama ialah keikhlasan.

“Kalau suka ‘makan jalan’, tidak bolehlah. Saya tidak suka pemimpin yang sering mengeluarkan air mata buaya. Contohnya dalam persetujuan mengenai jawatan – berapa bahagian milik siapa. Jangan pagi setuju, tengah hari tukar, kemudian jawatan kita diambil pula.

“Dalam persetujuan ini, tidak perlu pun akuan bersumpah (SD), cukup dengan jiwa yang bersih – sudah atau belum?” tegasnya.

Ditanya sama ada beliau telah mengadakan pertemuan dengan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, Bung Moktar berkata setakat ini tiada keperluan untuk berbuat demikian.

Bagaimanapun, beliau secara peribadi berpandangan bahawa kerjasama antara parti lebih baik dimeterai selepas pilihan raya berlangsung.

“Mungkin pada pandangan saya, lebih baik kita bergabung selepas pilihan raya. Bila itu berlaku, kita tahu berapa kerusi kita menang dan berapa kerusi mereka menang.

“Sebab sekarang, kalau kita bergabung, mereka kata boleh menang 50 kerusi, saya pula kata boleh menang 40 kerusi. Tapi realitinya, selepas pilihan raya baru kita tahu siapa yang menang lebih banyak.

“Jadi bila kita sudah tahu siapa yang menang banyak, itulah rakan kerjasama kita,” katanya.