KOTA KINABALU - Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah kesal dengan tindakan peserta yang membakar karikatur wajah menyerupai Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam perhimpunan yang diadakan di sekitar pusat Bandaraya Kota Kinabalu pada Ahad.
Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Sabah, Datuk Mustapha Sakmud berkata, tindakan itu adalah kali pertama berlaku dalam sejarah perjuangan anak muda di Sabah.
"Selama ini, kematangan berpolitik anak-anak Sabah amat dihormati dan disegani, namun insiden ini telah mencetuskan titik hitam dalam perjuangan anak-anak muda negeri ini.
"Dalam memperjuangkan hak untuk bersuara dan berhimpun secara aman, PKR Sabah menegaskan bahawa prinsip keselamatan dan kedaulatan undang-undang perlu dihormati.
"Justeru, sebarang bentuk perhimpunan mestilah dijalankan secara tertib, tanpa provokasi melampau yang boleh menjejaskan ketenteraman awam serta perlu berteraskan budaya asal Sabah yang menjunjung keharmonian dan kedamaian," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Menurut Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi itu lagi, pihak berkuasa harus diberikan ruang sepenuhnya untuk menjalankan siasatan mengenai perhimpunan tersebut dan mengambil tindakan sewajarnya mengikut lunas perundangan negara.
"Dalam masa yang sama, PKR Sabah tetap berpegang pada prinsip bahawa kebebasan bersuara dan berhimpun secara aman adalah hak yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.
"Hak ini mesti dipelihara agar rakyat, terutamanya generasi muda, tidak gentar untuk menyuarakan pandangan mereka terhadap dasar dan pelaksanaan kerajaan," katanya.
Bagaimanapun, Ahli Parlimen Sepanggar itu turut menyatakan bahawa PKR Sabah sentiasa konsisten dengan pendirian tegas menolak dan tidak bertolak ansur terhadap sebarang bentuk rasuah.
"Budaya korup telah lama menjadi punca kemunduran pentadbiran, ketirisan pembangunan dan penderitaan rakyat.
"PKR Sabah percaya bahawa kebebasan bersuara adalah asas kepada sebuah demokrasi yang matang dan sihat.
"Mahasiswa, anak muda dan masyarakat sivil yang membangkitkan isu-isu seperti krisis bekalan air, kelemahan pengurusan sumber negeri, dan ketirisan dalam projek awam, wajar diberi ruang untuk menyatakan pendirian mereka dan PKR Sabah menghormati pandangan anak muda yang memperjuangkan isu ini," katanya.