SIK - Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor terus diberi kepercayaan menerajui Pas kawasan Sik sebagai Yang Dipertua (YDP) bagi sesi 2025-2027.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri itu mempertahankan kedudukan itu untuk penggal keenam berturut-turut sejak tahun 2015, apabila menang tanpa bertanding.
Pemilihan kali ini turut menyaksikan semua jawatan utama termasuk Ahli Jawatankuasa Pas (AJK) kawasan tersebut menang tanpa bertanding dalam Mesyuarat Agung Tahunan ke-41 yang diadakan pada Sabtu.
Muhammad Sanusi yang juga Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat mengetuai barisan kepimpinan penggal baharu, yang turut mengekalkan penyandang bagi jawatan utama AJK dan sayap di kawasan Sik.
**media[3176153]**
Ahli Parlimen Sik, Ahmad Tarmizi Sulaiman kekal sebagai Timbalan Yang Dipertua, manakala ADUN Belantek, Ahmad Sulaiman pula kekal sebagai Naib Yang Dipertua.
Pemilihan itu turut menyaksikan Badrul Hisham Abdul Rahman terus diberi mandat sebagai Setiausaha melalui lantikan, sementara Ailmi Zakarya sebagai Bendahari.
Turut mengekalkan jawatan termasuk Mohd Rizal Zainon sebagai Ketua Penerangan dan Yusop Taib selaku Pengarah Pilihan Raya.
Sementara itu, bagi sayap parti, Harun Haya mengetuai Dewan Ulamak, Mohd Shahiful Mohd Nasir sebagai Ketua Dewan Pemuda, serta Norhashimah Abd Rahman terus memimpin Dewan Muslimat.
Muhammad Sanusi ketika dihubungi memaklumkan, antara tumpuan utama selepas berakhirnya pemilihan Pas kawasan Sik adalah memperkukuhkan gerak kerja parti di semua peringkat menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
“Antara fokus utama Pas kawasan Sik untuk memperkemas jentera pilihan raya serta memperluaskan pendekatan mendekati rakyat di peringkat akar umbi.
“Kita sudah menang 3-0 pada PRU14 dan PRN lalu, malah dengan majoriti berlipat kali ganda. Kita akan pastikan momentum ini diteruskan,” katanya.
Pada PRU14 (2018), Pas memenangi kerusi Parlimen Sik dengan majoriti 3,195 undi, manakala pada PRU15 (2022), majoriti meningkat lebih tiga kali ganda kepada 16,588 undi, memperlihatkan lonjakan sokongan ketara terhadap parti itu.
Ahli Parlimen Sik, Ahmad Tarmizi Sulaiman menang dengan 22,294 undi pada PRU14 dan pada PRU15 menang dengan 32,949 undi.
Pada PRN Kedah 2023, Pas turut mempertahankan dua kerusi DUN, iaitu Jeneri dan Belantek dengan majoriti lebih besar berbanding pilihan raya sebelumnya.
Muhammad Sanusi menewaskan Ketua UMNO Bahagian Sik, Datuk Muhamad Khizri Abu Kassim dengan majoriti 16,050 undi apabila memperoleh 21,823 undi berbanding Muhamad Khizri sebanyak 5,773 undi di DUN Jeneri.
Sementara di DUN Belantek, Ahmad Sulaiman memperoleh 17,782 undi mengalahkan Mazli Saipi (3,626 undi) dengan majoriti sebanyak 14,156 undi.
Muhammad Sanusi tegaskan, momentum kemenangan di tiga kawasan berkenaan perlu dipertingkatkan lagi dan parti itu tidak seharusnya berasa selesa dengan kemenangan lalu.
“Pelantikan barisan AJK kali ini dilihat dapat kukuhkan lagi struktur organisasi di peringkat kawasan, serta perhebatkan lagi gerak kerja dakwah dan kebajikan, selari dengan aspirasi parti di peringkat negeri mahupun nasional,” katanya.