Akmal Nasrullah bidas kiraan bil elektrik Ahmad Fadli

SHAH ALAM – Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasrullah Mohd Nasir menzahirkan rasa kecewa terhadap dakwaan Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari berkaitan kiraan bil elektrik pengguna domestik.

Menurut Akmal Nasrullah, dakwaan Ahmad Fadhli yang menyatakan seorang pengguna bernama "Pak Ali" hanya dicaj RM480 untuk penggunaan elektrik sebanyak 1,800 kilowatt-jam (kWj) adalah tidak munasabah serta tidak selari dengan struktur tarif sedia ada.

Secara sinis, Akmal turut menyatakan gaya Ahmad Fadhli seolah-olah menggambarkan beliau tidak pernah membayar bil elektrik sendiri, justeru beliau tampil membantu mengira semula jumlah sebenar berdasarkan kadar tarif semasa.

“Disebabkan gaya Ahmad Fadhli seperti tidak pernah membayar bil elektrik, jadi saya bantu beliau kirakan. Penggunaan elektrik 1,800 kWj akan dicaj RM1,167.87 dengan menggunakan tarif sedia ada.

“Saya tak sarankan Ahmad Fadhli untuk bantu kirakan anggaran bil elektrik orang lain lagi kerana kiraannya menyimpang jauh dan dikhuatiri menyebarkan ‘ajaran sesat’,” katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Isnin.

Sebelum ini, Ahmad Fadhli yang juga Ketua Penerangan Pas menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap dakwaan bahawa bil elektrik pengguna domestik akan menurun sehingga 19 peratus susulan pelarasan tarif yang diumumkan kerajaan baru-baru ini.

Menurutnya, kenyataan sedemikian hanya sedap didengar namun tidak mencerminkan realiti yang dihadapi rakyat di lapangan.

Beliau turut menggunakan analogi penggunaan elektrik oleh Pak Ali sebanyak 1,800 kWj dengan jumlah bil RM480.

Mengulas lanjut, Akmal menjelaskan bahawa beliau turut mengira semula anggaran bil elektrik Pak Ali menggunakan struktur tarif baharu yang akan mula dikuatkuasakan pada 1 Julai ini, termasuk pelarasan Automatic Fuel Adjustment (AFA) yang akan mempengaruhi jumlah bayaran keseluruhan.

“Hakikatnya, nilai ini bergantung kepada AFA yang mencerminkan kos bahan api dan kadar tukaran wang asing secara langsung.

“Berbanding kaedah sebelum ini yang menggunakan anggaran harga kos bahan api dan hanya disemak setiap enam bulan menerusi Pelepasan Kos Tidak Berimbang (ICPT), kaedah baharu ini jauh lebih telus dan mencerminkan kos sebenar pengguna,” katanya.

Jelas beliau, penggunaan 600 kWj ke bawah akan dikecualikan caj runcit dan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) sebanyak lapan peratus, manakala penggunaan bawah 1,000 kWj akan menerima rebat insentif kecekapan tenaga.

“Untuk konteks, penggunaan 600 kWj bersamaan dengan bil elektrik sebanyak RM216 berdasarkan pengiraan tarif baharu atau RM223.50 mengikut jadual tarif sedia ada.

“Pokoknya, kaedah ini akan melindungi 85 peratus pengguna keseluruhan sekiranya kadar penggunaan elektrik mereka kekal,” ujarnya.

Akmal turut memaklumkan bahawa Tenaga Nasional Berhad (TNB) akan mengeluarkan kalkulator simulasi bagi pengiraan bil elektrik berdasarkan jadual tarif baharu.

Beliau turut mengingatkan orang ramai agar tidak terpengaruh dengan maklumat yang memesongkan fakta oleh pihak pembangkang, sebaliknya merujuk simulasi kiraan sebenar agar dapat merancang penggunaan tenaga dengan lebih cekap dan berhemah.