UMNO bahagian boleh kemuka usul termasuk isu Hishammuddin – Azalina

SHAH ALAM - Semua UMNO bahagian dibenarkan mengemukakan sebarang usul termasuk isu penggantungan keahlian bekas Naib Presiden parti itu Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein pada mesyuarat perwakilan.

Ketua Penerangan UMNO Datuk Seri Azalina Othman Said berkata usul itu kemudian akan dikumpulkan dan dikemukakan kepada kepimpinan parti untuk diteliti.

"Saya rasa sesiapa boleh buat (kemukakan) permohonan (usul). Perkara itu hak mereka,” katanya selepas peluncuran Program Perdana Literasi Kewangan Peringkat Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) dan Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS) Tahun 2025-Jabatan Insolvensi Malaysia Tahun 2025 di Dewan Agung Tuanku Canselor, Universiti Teknologi MARA (UiTM), di sini hari ini.

Azalina yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) berkata demikian bagi mengulas pertanyaan berhubung usul untuk menarik balik penggantungan keahlian Hishammuddin.

Bagaimanapun, beliau berkata, UMNO belum menerima sebarang permohonan berkaitan perkara itu.

"Saya tidak nampak (terima) apa-apa permohonan (tarik balik penggantungan keahlian Hishammuddin). Mungkin ia dalam mesyuarat pengurusan parti,” katanya.

Pada 21 Jun lepas, UMNO Bahagian Sembrong membawal usul supaya penggantungan Hishammuddin ditarik balik serta-merta tanpa sebarang syarat.

Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin pada sidang media selepas Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Batu Pahat semalam berkata parti itu akan mempertimbangkan usul berkenaan sebelum sebarang keputusan dibuat.

Untuk rekod, Hishammuddin dikenakan penggantungan keahlian selama enam tahun bermula pada 27 Januari 2023. - Bernama