PN bukan lagi ‘healing party', kerusi bertambah bukti sokongan meningkat – Rosli

KUANTAN – Pertambahan kerusi yang dimenangi Perikatan Nasional (PN) Pahang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) menjadi bukti bahawa gabungan itu bukan sekadar ‘healing party’.

Pesuruhjaya Pas Pahang, Datuk Rosli Abdul Jabar berkata, sebaliknya jentera parti itu sentiasa bekerja mendekati masyarakat, sekali gus mengukuhkan pengaruh politik di negeri ini.

“Pertambahan kerusi ini juga menterjemahkan bahawa PN Pahang bukan 'healing party', jenteranya sedang bekerja dan sentiasa bergerak.

“Ia juga satu terjemahan bahawa keyakinan rakyat Pahang kepada PN semakin meningkat,” katanya dalam satu hantaran di Facebook miliknya berhubung ‘Teraju Pahang 3’ pada Isnin.

Menurutnya, peningkatan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen yang dimenangi PN di Pahang turut menterjemahkan "impian yang sedang bergerak" bagi gabungan itu di negeri ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Lumpur itu menjelaskan, Pas pernah memenangi enam kerusi pada PRU10 tetapi kehilangan kesemuanya pada PRU11.

Tambah beliau, parti itu kembali memenangi dua kerusi pada PRU12 meningkat kepada tiga kerusi pada PRU13.

“Kemenangan itu terus bertambah menjadi lapan kerusi pada PRU14 dan kini, ketika PRU15 Pas telah memenangi 15 kerusi.

“Dua lagi kerusi dimenangi oleh rakan gabungan daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), dan ini menjadikan PN memenangi 17 kerusi DUN serta lima kerusi Parlimen di Pahang,” katanya.

Rosli berkata, jumlah undi yang diperoleh PN di Pahang pada PRU15 juga melebihi BN dan PH, sekali gus menunjukkan peningkatan sokongan rakyat terhadap dasar dan pendekatan gabungan itu.

“PN memperoleh 338,225 undi (38.29 peratus), diikuti Barisan Nasional (BN) sebanyak 333,621 undi (37.77 peratus) dan Pakatan Harapan (PH) sebanyak 188,241 undi (21.31 peratus),” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, BN buat pertama kali gagal menubuhkan kerajaan kerana tidak mampu berdiri sendiri dan terpaksa bergantung kepada DAP dan PH untuk mengekalkan kuasa.

Katanya, Pahang kini tidak lagi diperintah sepenuhnya oleh BN sebaliknya oleh gabungan PH-BN yang disebut sebagai ‘UMDAP’.

“Kalimah ini bukan saya yang sebut, tapi ia kalam sahih daripada seorang pemimpin DAP bertaraf menteri, lalu disambut beberapa pemimpin UMNO dengan kalimah ‘mantap’ di PRK (Pilihan Raya Kecil) Ayer Kuning baru-baru ini,” katanya.

Dalam pada itu, Rosli berkata, penghinaan dan pelbagai gelaran yang pernah dilemparkan terhadap Pas tidak pernah mematahkan semangat perjuangan parti itu.

“Kami telah melalui semua itu dan Alhamdulillah, kami berjaya melepasinya.

“Semua itu bukan lagi sebab untuk kami lemah, malah menjadikan kami lebih berinspirasi mengatur strategi untuk menggapai impian ‘Teraju Pahang’,” katanya.