SHAH ALAM - Kekalahan Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli dalam pemilihan jawatan Yang Dipertua (YDP) 2025-2027 Pas Arau jelas satu isyarat penolakan perwakilan terhadap beliau.
Penganalisis politik, Dr Mohammad Tawfik Yaakub berpandangan, keputusan itu pelik kerana seorang pesuruhjaya negeri boleh tewas dalam pemilihan bahagian.
Menurut pensyarah kanan Jabatan Pengajian Pentadbiran dan Politik Universiti Malaya (UM) itu, pihaknya tidak menolak kemungkinan bahawa terdapat masalah dalaman parti di negeri berkenaan.
“Umum mengetahui Mohd Shukri bukanlah orang baharu dalam politik Pas di Perlis, bahkan beliau berjaya membentuk kerajaan buat pertama kali di negeri berkenaan semasa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.
“Justeru, ini satu isyarat penolakan terhadap Mohd Shukri dan apabila beliau tewas dalam pemilihan YDP kawasan Arau, ia secara tidak langsung memberi signal kepada masa depan politiknya juga,“ katanya kepada Sinar Harian.
Mohammad Tawfik berpendapat, sudah tiba masanya Pas Pusat menilai dan mengkaji semula keputusan kekalahan Mohd Shukri bagi melancarkan urusan Pas mengatur strategi baharu bagi menghadapi PRU16.
“Ia perlu dibuat supaya tidak beri kesan kepada kedudukan dan prestasi Pas serta Perikatan Nasional (PN) di Perlis,” ujarnya lagi.