Pemuda UMNO Johor sokong tarik balik penggantungan Hishammuddin

JOHOR BAHRU – Pemuda UMNO Johor menyambut baik cadangan UMNO Bahagian Sembrong yang mahu penggantungan keahlian Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein ditarik semula.

Ketuanya, Noor Azleen Ambros berkata, langkah yang dicadangkan itu dilihat sebagai satu usaha ikhlas dan membina untuk memperkukuh parti, bukan sahaja di peringkat bahagian dan negeri, malah di peringkat nasional.

"Nama Hishammuddin bukan sahaja sinonim dengan rakyat Sembrong, bahkan sangat berkait rapat dengan perjuangan dan legasi UMNO itu sendiri.

"Ketika UMNO sedang berusaha memantapkan asas serta kekuatan parti melalui kepimpinan di semua peringkat, cadangan seperti yang dikemukakan oleh UMNO Sembrong wajar diberi perhatian serius," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Menurut Noor Azleen, pihaknya percaya Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi serta barisan kepimpinan parti akan meneliti cadangan tersebut dengan sewajarnya.

"Usul terbabit diyakini akan dipertimbangkan seperti mana pendekatan yang telah diambil terhadap usul-usul daripada bahagian lain di seluruh negara.

"Keputusan yang diambil kelak perlu berpaksikan kepada kepentingan parti dan hala tuju masa depannya," ujarnya.

Pada Sabtu, UMNO Bahagian Sembrong mencadangkan agar penggantungan keahlian Hishammuddin ditarik semula, selaras dengan matlamat memperkukuh parti di semua peringkat menjelang Pilihan Raya Umum akan datang.

Untuk rekod, Hishammuddin digantung keahlian UMNO selama enam tahun bermula 27 Januari 2023, atau dua penggal pemilihan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO.

Surat bertarikh 30 Januari 2023 itu ditandatangani oleh Datuk Seri Ahmad Maslan yang bertindak sebagai Setiausaha Agung UMNO ketika itu.