KOTA KINABALU – Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) menolak budaya dominasi dalam kerjasama politik, sebaliknya menegaskan pentingnya hubungan harmoni antara parti-parti bagi menjamin kestabilan politik di Sabah.
Setiausaha Agung Gagasan Rakyat, Datuk Razali Razi berkata, parti itu tidak mahu dilihat sebagai 'abang besar' dalam mana-mana gabungan kerana perjuangan utama adalah meletakkan kepentingan rakyat melebihi kepentingan peribadi atau parti.
“Resolusi yang diluluskan agar saya menjadi calon bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Darau dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang saya anggap sebagai satu harapan dan aspirasi daripada akar umbi Bahagian Darau.
“Namun, saya ingin tegaskan bahawa keputusan tersebut hanya datang daripada Gagasan Rakyat Darau. Kita perlu peka terhadap pandangan pihak lain. Paling penting adalah kestabilan politik,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Persidangan Gagasan Rakyat Bahagian Darau 2025 yang dirasmikan Timbalan Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Armizan Mohd Ali di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini pada Ahad.
Razali yang juga Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Darau berkata, pengalaman lalu mengajar parti itu agar sentiasa menjalin hubungan saling menghormati antara parti komponen dalam gabungan sendiri.
“Apa yang penting ialah kita melihat dari sudut lebih luas. Jika Presiden parti memutuskan calon bukan dari Gagasan Rakyat, saya akan menerimanya dengan hati terbuka.
“Secara peribadi, apa yang saya mahukan ialah Presiden saya menjadi Ketua Menteri Sabah,” katanya.
Mengulas kritikan terhadap slogan Sabah Maju Jaya (SMJ), Razali mempersoalkan mengapa slogan itu dipolitikkan, sedangkan ia sudah wujud sejak awal pentadbiran dan menggambarkan dasar pembangunan yang jelas.
“Kenapa kita perlu mempolitikkan slogan Sabah Maju Jaya? Ia telah wujud sejak hari pertama. Ini bukan sekadar slogan, tetapi telah didokumentasikan secara rasmi sebagai hala tuju negeri.
“Kalau kita lihat kerajaan-kerajaan terdahulu, bila bercakap tentang hala tuju, adakah kita nampak ia didokumentasikan? Kini, kita ada SMJ sebagai panduan hitam putih. Ia bukan sekadar sembang kedai kopi,” tegasnya.