KOTA KINABALU – Timbalan Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Armizan Mohd Ali menegaskan bahawa model politik yang dibawa oleh GRS bukanlah bertujuan menolak kerjasama dengan parti-parti nasional, sebaliknya bertujuan meletakkan parti lokal sebagai teras kepada kerajaan negeri.
Menurut Ahli Parlimen Papar itu, pendekatan berkenaan penting bagi memastikan hubungan antara kerajaan negeri dan Persekutuan bersifat antara kerajaan (inter-governmental) dan bukan sekadar hubungan dalam parti (intra-party).
“Ini kerana kita mahukan sebarang agenda dan isu yang melibatkan kepentingan negeri dirunding dan diselesaikan melalui forum antara dua peringkat kerajaan – Persekutuan dan negeri.
“Sekiranya parti nasional menjadi teras kepada kedua-dua peringkat kerajaan, akan timbul kecenderungan untuk merundingkan isu negeri dalam ruang lingkup dalaman parti terlebih dahulu,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Persidangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Darau 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini, pada Ahad.
Turut hadir, Setiausaha Agung Gagasan Rakyat yang juga Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Darau, Datuk Razali Razi.
Armizan menjelaskan, apabila agenda negeri diputuskan dalam kerangka dalaman parti, risiko yang timbul ialah keutamaan diberikan kepada kepentingan parti, membelakangkan kepentingan negeri.
“Lebih membimbangkan, ada indoktrinasi dalam sesetengah parti nasional yang meletakkan kesetiaan kepada parti melebihi segala-galanya tanpa kompromi.
“Ada ketikanya isu negeri akan disenyapkan kerana pendirian parti nasional yang mengutamakan kepentingan nasional. Contohnya, perkara ini pernah berlaku dalam isu Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) selama berpuluh tahun,” katanya.
Menurut beliau, meskipun kini terdapat perubahan positif dalam komitmen Persekutuan terhadap MA63 di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, namun pendekatan sedemikian tidak boleh bergantung semata-mata kepada gaya kepimpinan individu.
Sebaliknya, tegas beliau, perlunya satu struktur yang menjamin hubungan antara kerajaan negeri dan Persekutuan kekal bersifat antara kerajaan.
“Kita tidak menolak bahawa kepentingan nasional mesti dipelihara, tetapi perjuangan itu harus diterajui kerajaan Persekutuan. Kerajaan negeri pula harus meletakkan agenda negeri sebagai keutamaan tertinggi.
“Inilah falsafah di sebalik teras pertama perjuangan GRS iaitu ‘Sabah First’, yang bermaksud agenda negeri diutamakan,” katanya.
Armizan turut menegaskan bahawa GRS ingin menjadi teras kepada kerajaan negeri, dan pilihan raya akan datang adalah medan untuk rakyat memilih kerajaan negeri.
“Kita akan sokong parti nasional untuk memimpin kerajaan Persekutuan dan beri kerjasama. Namun biarlah parti lokal menjadi teras kepada kerajaan negeri.
“Kami mengalu-alukan kerjasama dengan parti nasional dalam pilihan raya negeri, selagi mana mereka menghormati bahawa parti lokal wajar diberi peranan utama dengan bertanding lebih banyak kerusi,” ujarnya.
Beliau menyifatkan model ini sebagai asas kepada kerjasama dalam Kerajaan GRS-PH Plus sedia ada, sambil menegaskan bahawa GRS tetap akan bekerjasama dengan parti nasional kerana gabungan itu juga adalah sebahagian daripada pembentukan kerajaan Persekutuan serta dalam memilih Perdana Menteri daripada kalangan pemimpin parti nasional.