Budi Najib tidak terbalas - Noraini

JERANTUT - Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad menyambut baik  keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Jumaat yang melepas tanpa membebaskan (DNAA) Datuk Seri Najib Tun Razak daripada tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM27 juta dana SRC International Sdn Bhd.

"Kita menyambut baik keputusan tersebut dan mendoakan yang terbaik buat beliau (Najib).

"Beliau adalah seorang pemimpin yang budinya tidak terbalas," katanya.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Wanita UMNO Bahagian Jerantut, di sini, pada Ahad.

Turut hadir, Ketua Wanita UMNO Bahagian Jerantut, Norsarfinaz Mohd Azman dan Ketua UMNO Bahagian Jerantut, Haris Salleh Hamzah.

**media[3174602]**

Dalam pada itu, Noraini turut mengingatkan jentera Wanita UMNO supaya tidak mengambil pendekatan bekerja di saat akhir, sebaliknya perlu bersiap siaga dari sekarang bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

“Kita jangan buat kerja saat akhir. Gerak kerja mesti bermula sekarang walaupun kita belum tahu bila pilihan raya akan diadakan. Kita perlu bersedia dengan pendekatan dan strategi yang lebih segar.

“Saya lihat semangat Wanita UMNO memang tidak perlu dipersoalkan. Di peringkat akar umbi, merekalah yang sentiasa hadir mesyuarat, mencukupkan korum dan memberikan pandangan mereka,” jelasnya.

Pada 3 Februari 2019, Najib didakwa atas tiga pertuduhan menerima wang berjumlah RM27 juta hasil kegiatan haram menerusi tiga akaun AmPrivate Banking miliknya di AmIslamic Bank Berhad, Bangunan AmBank Group, Jalan Raja Chulan, pada 8 Julai 2014.

Pertuduhan dibuat di bawah Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001, yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda RM5 juta atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Bekas Perdana Menteri itu kini sedang menjalani hukuman penjara di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International.

Mahkamah Tinggi sebelum ini menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta, yang kemudiannya dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan selepas menolak rayuan Najib.