Nurul Izzah, Saifuddin dilantik Pengarah Pilihan Raya Bersama PKR

SHAH ALAM – Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar dan Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dilantik sebagai Pengarah Pilihan Raya Bersama PKR bagi penggal baharu kepimpinan parti itu.

Perkara tersebut diumumkan oleh Ketua Penerangan PKR, Datuk Fahmi Fadzil pada Sabtu.

Menurut Fahmi, pelantikan itu diputuskan dalam Mesyuarat Biro Politik dan Majlis Pimpinan Pusat (MPP).

“Mesyuarat turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas pengorbanan, sumbangan dan khidmat bakti mantan Timbalan Presiden serta pimpinan lainnya.

“Diharapkan mereka akan terus memberi sumbangan kepada parti dan perjuangan,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Tambah Fahmi, mesyuarat turut membincangkan isu-isu semasa termasuk berkaitan geopolitik dan ekonomi global, selain tahap persiapan jentera parti bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Dalam perkembangan sama, turut diumumkan bahawa Datuk Dr Fuziah Salleh dan William Leong masing-masing kekal sebagai Setiausaha Agung dan Bendahari Agung parti.

Sementara itu, Datuk Mustapha Sakmud dilantik sebagai Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Sabah.