ARAU – [DIKEMAS KINI] Mesyuarat Agung Tahunan Pas Kawasan Arau menyaksikan kejutan apabila Pesuruhjaya Pas Perlis yang juga Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli tewas dalam pemilihan jawatan Yang Dipertua (YDP) 2025-2027 kepada penyandang, Solahudin Azmi.
**media[3174091]**
Dalam pemilihan yang berlangsung di Kompleks Pas Perlis pada Sabtu, Mohd Shukri hanya memperoleh 43 undi berbanding Solahudin yang meraih sokongan padu 128 undi daripada 173 perwakilan yang hadir.
Sementara itu, jawatan Timbalan YDP gagal dikekalkan oleh Ruselee Eizan yang juga Speaker Dewan Undangan Negeri apabila meraih 34 undi berbanding pencabarnya iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Guar Sanji, Mohd Ridzuan Hashim yang juga Exco Kerajaan Negeri selepas meraih 135 undi.
Bagi jawatan Naib YDP, Mohd Yusairi Mansor berjaya memperoleh 130 undi, menewaskan penyandang iaitu Exco Kerajaan Negeri merangkap ADUN Simpang Empat, Razali Saad yang mendapat 39 undi.
Sementara itu, Mohd Ridzuan ketika dihubungi Sinar Harian berkata, kepercayaan dan amanah yang diberikan oleh ahli di peringkat akar umbi akan digunakan sebaik mungkin membuat persediaan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16.
Menurutnya, fokus Pas Kawasan Arau kini adalah untuk membantu Perikatan Nasional (PN) yang berjaya mendominasi lima kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawah Parlimen Arau pada PRU ke-15.
“Terima Kasih atas kepercayaan yang diberikan oleh ahli di peringkat Pas Kawasan Arau, persiapan akan dilakukan bagi menghadapi pilihanraya akan datang dengan membantu mengekalkan lima DUN tersebut di bawah Pas dan PN,” katanya pada Sabtu.
Bagi Pas Kawasan Padang Besar, pemilihannya akan berlangsung pada Ahad yang menyaksikan penyandang YDP kawasan itu, Saad Seman iaitu ADUN Chuping dicabar oleh Muhammad Azmir Azizan juga Exco kerajaan negeri.
Mesyuarat agung bagi Pas Kawasan Kangar pula dijadualkan pada 28 Jun ini melibatkan pertembungan menarik antara penyandang YDP, Yussaine Yahya dan Senator Baharudin Ahmad.