PRN Johor selewat-lewatnya April 2027 – Onn Hafiz

JOHOR BAHRU – Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi sekali lagi menegaskan bahawa Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor hanya akan diadakan selewat-lewatnya pada April 2027, sejajar dengan tempoh penggal pentadbirannya yang tamat pada tarikh berkenaan.

“Bila pilihan raya? Jawapannya, paling lambat April 2027. Kita ada jangka masa dua tahun lagi,” katanya ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Tebrau pada Sabtu.

Menurut Onn Hafiz yang juga Pengerusi UMNO Johor, tumpuan utama ketika ini bukanlah soal tarikh PRN, sebaliknya keutamaan perlu diberikan kepada usaha berkhidmat untuk rakyat.

“Sekarang fokus kita adalah untuk berkhidmat, jadi rapatkan saf,” katanya.

Sebagai persediaan menghadapi pilihan raya, beliau turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM10,000 untuk setiap Pusat Daerah Mengundi (PDM) di seluruh negeri bermula Julai ini.

“Saya dah berbincang dengan ketua bahagian, setiap PDM akan diberi RM10,000 secara berfasa. Kita mahu semua pimpinan, wakil rakyat dan ketua sayap bergerak seirama dalam setiap PDM,” jelas beliau.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap itu turut mengingatkan jentera parti supaya tidak hanya menunggu musim pilihan raya untuk memulakan gerak kerja.

“Takkan tunggu pilihan raya baru nak buat kerja. UMNO adalah parti yang membela rakyat. Gerak kerja pasukan itu sangat penting,” ujarnya.

Persidangan UMNO Tebrau turut dihadiri Timbalan Pengerusi UMNO Johor, Datuk Seri Ahmad Maslan dan Setiausaha UMNO Johor merangkap Ketua UMNO Bahagian Tebrau, Datuk Abdul Halim Suleiman.

Untuk rekod, pada PRN Johor 2022, UMNO dan Barisan Nasional (BN) memenangi 40 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Pakatan Harapan (PH) melalui DAP menang 10 kerusi, manakala PKR dan Amanah masing-masing satu kerusi.

Perikatan Nasional (PN) pula memperoleh tiga kerusi dengan Bersatu dua kerusi dan Pas satu, sementara Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) turut memenangi satu kerusi.