PUTATAN – Parti Warisan akan menetapkan syarat tegas kepada calon-calon yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah kali ini, termasuk mengenakan saman sebanyak RM10 juta kepada mana-mana wakil rakyat yang melompat parti selepas menang.
Presidennya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, langkah itu merupakan komitmen parti dalam memastikan calon yang dipilih benar-benar setia serta konsisten dengan perjuangan parti sepanjang penggal.
“Kita perlu pastikan calon memenuhi kehendak rakyat di peringkat akar umbi.
"Calon memainkan peranan penting, lebih-lebih lagi apabila lebih 65 peratus pengundi kini terdiri daripada golongan muda,” katanya ketika sidang media selepas melawat mangsa kebakaran di Dewan Sri Putatan, di sini, pada Selasa.
Menurut beliau, walaupun Akta Anti Lompat Parti telah digubal, Warisan mengambil pendekatan lebih proaktif bagi mengekang budaya lompat parti yang pernah mencetuskan ketidakstabilan politik sebelum ini.
“Saya sudah siapkan langkah pencegahan. Jika ada calon yang menang atas tiket Warisan kemudian meninggalkan parti, saya akan bawa ke mahkamah dan tuntut saman RM10 juta,” tegasnya.
Shafie menjelaskan bahawa syarat tersebut akan dimeterai lebih awal bersama calon sebagai satu bentuk perjanjian moral dan perundangan bagi menjamin kesetiaan serta keutuhan parti selepas pilihan raya.
“Mana-mana calon yang dinamakan, mesti faham dan bersetuju dengan syarat ini.
"Kita tidak boleh bertolak ansur dengan tindakan yang menjejaskan kestabilan parti dan mandat rakyat,” ujarnya.
Mengulas mengenai persediaan Warisan menghadapi PRN Sabah, beliau mengakui terdapat ramai yang menyatakan minat untuk bertanding, namun penilaian utama ialah kemampuan berkhidmat dan integriti calon.
“Ramai yang mahu jadi calon, tetapi ini bukan soal jaga hati. Ini soal mendapatkan kuasa untuk selesaikan masalah rakyat. Rakyat memerlukan pemimpin yang berkeupayaan, bukan sekadar mahu gelaran,” katanya.
Sementara itu, diminta mengulas mengenai Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) sebanyak lima peratus pada Julai ini, beliau menyatakan kebimbangannya terhadap kesan langsung kepada rakyat Sabah.
"Perkara ini sudah saya suarakan di Parlimen. Kebimbangan saya ialah kenaikan harga barang yang bakal membebankan masyarakat.
"Bila SST dilaksanakan, saya harap kerajaan mengambil langkah penjimatan dalam pengurusan kewangan negara.
"Kini perbelanjaan negara mencecah RM400 bilion antara yang tertinggi, jadi ia perlu diurus dengan cermat," katanya.