KUALA LUMPUR – Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin, menggesa kerajaan membatalkan peluasan skop Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) serta cadangan kenaikan tarif elektrik yang disifatkan sebagai beban baharu terhadap rakyat.
“Saya menggesa supaya peluasan skop SST dan cadangan kenaikan tarif elektrik dibatalkan. Kerajaan mesti mencari kaedah lain untuk mengatasi masalah fiskal negara, bukan dengan berterusan membebankan rakyat,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Beliau mempersoalkan tindakan kerajaan Madani yang memperluaskan SST secara drastik sehingga lebih 90 peratus barangan dikenakan cukai, termasuk barangan asas seperti gula, garam, ikan, sayur-sayuran dan buah-buahan.
“Daripada 8,094 barangan yang sebelum ini dikecualikan daripada SST, kini hanya tinggal 1,813 barangan. Buah epal, pisang dan oren pun dikenakan cukai. Ini bukan makanan orang kaya, ini makanan rakyat biasa sejak dahulu,” katanya.
Muhyiddin menyifatkan dasar cukai yang diamalkan kerajaan hari ini sebagai satu pembohongan yang menyimpang daripada janji asal kerajaan Madani untuk hanya mengenakan cukai terhadap golongan maha kaya dan mengagihkan semula hasil kepada golongan miskin.
“Kononnya seperti ‘Robin Hood’, tetapi hakikatnya itu hanya sandiwara,” ujarnya.
Tambahnya, kerajaan kini dilihat tergesa-gesa memungut hasil tambahan sebanyak RM10 bilion menerusi peluasan cukai tanpa melalui proses libat urus atau perbahasan di Parlimen.
“Ke manakah hasil RM10 bilion ini akan dibelanjakan? Kenapa kerajaan tidak menunggu sehingga pembentangan Bajet 2026 supaya ahli-ahli Parlimen boleh membahaskan rasional peluasan cukai ini?” soalnya.
Beliau turut mengingatkan bahawa rakyat baru sahaja dibebani dengan penghapusan subsidi diesel dan kenaikan kadar SST pada tahun lalu, dan kini terus ditekan dengan cadangan kenaikan tarif elektrik serta pelaksanaan pelarasan subsidi RON95.
“Walaupun dikatakan bersasar, kesan kenaikan harga barang dan kos sara hidup akibat peluasan cukai dan penghapusan subsidi akan dirasai oleh seluruh rakyat. Kesan bertimpa-timpa ini akan menyeksa golongan B40 dan M40, iaitu 85 peratus daripada keseluruhan penduduk negara,” katanya.
Menurut beliau, langkah berterusan membebankan rakyat membuktikan kegagalan kerajaan Madani dalam mengurus ekonomi negara secara berhemah.
“Apabila ekonomi tidak diurus dengan baik, hasil negara akan berkurangan. Dalam keadaan ini, kerajaan menjadi seperti lintah yang setiap hari menghisap darah rakyat dengan pelbagai cukai dan penghapusan subsidi.
“Ini bukan sebuah kerajaan yang cekap dan prihatin kepada rakyat,” katanya lagi.
Dalam kenyataan sama, Muhyiddin turut mempersoalkan cadangan kenaikan tarif elektrik meskipun Tenaga Nasional Berhad (TNB) mencatat keuntungan bersih RM1.04 bilion pada suku pertama 2025, peningkatan sebanyak 53.5 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.
“Sudah sampai masanya kerajaan mengkaji sama ada GST dengan kadar munasabah patut dipertimbangkan semula selepas mengadakan libat urus dengan semua pemegang taruh,” ujarnya.
Muhyiddin menyatakan keyakinan bahawa SST dalam bentuk yang dilaksanakan kerajaan kini lebih membebankan rakyat dan ekonomi negara berbanding pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) sebelum ini.
“Saya ingin mengingatkan Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, GST yang saya maksudkan ialah Goods and Services Tax, bukan General Services Tax. Saya tidak pasti bagaimana Perdana Menteri boleh terkeliru antara kedua-duanya,” katanya secara sinis.
Beliau menegaskan bahawa tugas kerajaan ialah meringankan beban rakyat, bukan menambah beban.
“Jika perkara yang paling asas ini pun gagal dilaksanakan, maka kerajaan Madani telah gagal dan wajar ditolak oleh rakyat,” katanya.