Majlis Ulama UMNO doakan Presiden Pas cepat sembuh

SHAH ALAM – Perbezaan fahaman politik tidak menghalang Majlis Ulama UMNO untuk mendoakan agar keadaan kesihatan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang bertambah baik.

Timbalan Pengerusinya, Datuk Dr Khairuddin Takiri, berkata meskipun berlainan platform politik, namun hak setiap orang Islam untuk mendoakan kebaikan dan kesejahteraan saudara seagama tidak pernah gugur.

“Kita mendoakan kesihatan yang baik dan kesembuhan buat Presiden Pas, Tuan Guru Tan Sri Abdul Hadi Awang yang menjalani prosedur rawatan pada hari ini.

“Meskipun berbeza platform politik kepartian, hak sebagai saudara Muslim untuk mendoakan kebaikan dan kesejahteraan tidak pernah gugur.

“Ya ALLAH, sembuhkan beliau dengan kesembuhan yang tidak lagi meninggalkan kesakitan dan kepedihan,” katanya dalam satu kenyataan menerusi Facebook pada Selasa.

Terdahulu, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dilaporkan telah selamat menjalani satu prosedur rawatan di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur.

Perkara itu dimaklumkan oleh Ahli Parlimen Bachok, Mohd Syahir Che Sulaiman menerusi satu hantaran di Facebook.

Untuk rekod, pada Januari tahun lalu, Abdul Hadi, 77, turut menjalani rawatan di IJN.