BESUT – Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menegaskan bahawa kepimpinan dan buah fikiran Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang masih diperlukan dalam mendepani cabaran politik semasa serta memperkukuh gerak kerja parti.
Beliau berkata, Abdul Hadi memainkan peranan penting sehingga Pas muncul antara dua parti terbesar di negara ini serta memenangi hampir 200 kerusi di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen.
"Kepimpinan dan buah fikiran beliau sangat diperlukan dalam meneruskan gerak kerja parti kerana ini bukan perjuangan politik semata-mata, tetapi menjangkaui lebih daripada itu.
"Saya rasa tidak timbul langsung soal pengunduran Tok Guru. Malah di peringkat akar umbi hingga kepimpinan tertinggi mendoakan kesihatan beliau agar kembali pulih seperti sedia kala," katanya kepada pemberita selepas menziarahi keluarga mangsa tragedi bas Gerik, di Kampung Telaga Nibong, di sini pada Selasa.
Ahmad Samsuri berkata, momentum kecemerlangan Pas yang dibawa Abdul Hadi perlu dikekalkan dan tidak wajar isu pengunduran beliau ditimbulkan dalam keadaan parti berada pada prestasi terbaik.
"Pas kini menang hampir 200 kerusi di peringkat Parlimen dan DUN, itu semua hasil kepimpinan Tok Guru. Jadi kenapa perlu fikir sesuatu yang bukan-bukan ketika kita sedang berada dalam prestasi cemerlang," katanya lagi.
Dalam pada itu, Ahmad Samsuri turut menjelaskan keputusan beliau berundur daripada jawatan Yang Dipertua (YDP) Pas Kawasan Marang bagi memberi ruang kepada pelapis baharu.
Ahmad Samsuri turut menyatakan, fokusnya kini tertumpu kepada tugas strategik parti untuk tempoh menjelang 2026.
"Saya sendiri telah nyatakan dalam ucapan, jawatan dalam parti bukan milik individu. Apabila tiba masanya, perlu beri ruang dan latih pemimpin baharu supaya pembahagian kerja dapat diurus dengan lebih berkesan," ujarnya.
Sebelum ini, Abdul Hadi dikatakan memberi bayangan untuk berundur daripada jawatan tersebut atas faktor kesihatan.
Difahamkan Ahli Parlimen Marang itu menyampaikan hasrat tersebut kepada barisan kepimpinan tertinggi dalam satu pemukiman parti di Hotel Primula, Kuala Terengganu.