SHAH ALAM – Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dilaporkan selamat menjalani satu prosedur rawatan sekitar tengah hari tadi.
Perkara itu dimaklumkan oleh Ahli Parlimen Bachok, Mohd Syahir Che Sulaiman menerusi satu hantaran di Facebook pada Selasa.
Menurut Mohd Syahir, tiada sesi lawatan dibenarkan dalam masa terdekat atas nasihat dan saranan doktor pakar.
“Alhamdulillah. Makluman daripada Ustaz Khalil (Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi), prosedur berjaya.
“Terima kasih kepada semua yang mendoakan. Atas nasihat doktor, tiada pelawat dibenarkan dalam masa terdekat.
“Mohon doakan kesembuhan untuk Ayah Chik tercinta,” katanya.
Terdahulu, Sinar Harian melaporkan bahawa Ahli Parlimen Marang itu sedang menjalani rawatan, seperti dimaklumkan oleh anaknya, Muhammad Khalil.
Muhammad Khalil yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk turut memohon doa daripada seluruh rakyat, khususnya penyokong Pas agar urusan rawatan bapanya dipermudahkan.
Bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, turut menyeru seluruh umat Islam di negara ini agar mendoakan kelancaran prosedur tersebut.
Bagaimanapun, lokasi dan butiran lanjut mengenai jenis rawatan tidak diperincikan.
Untuk rekod, Abdul Hadi pernah menerima rawatan susulan di Institut Jantung Negara (IJN) dan kali terakhir dilaporkan menjalani prosedur rawatan berkaitan pada 5 Januari tahun lalu.