Kenaikan caj pelabuhan bakal jejas sektor pengeluaran, eksport – PN Melaka

MELAKA - Kerajaan digesa mempertimbangkan semula cadangan untuk menaikkan caj pelabuhan hingga 30 peratus bagi memastikan sektor tempatan kekal kompetitif dan tidak menjejaskan ekonomi negara serta rakyat.

Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN) Melaka, Bakri Jamaluddin berkata, kenaikan bermula 1 Julai ini dijangka memberi kesan besar kepada pengilang, pengeksport dan pengguna.

Menurutnya, sektor pengeluaran merupakan sektor kedua terbesar selepas perkhidmatan yang menyumbang 23 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kini sedang berdepan pelbagai tekanan ekonomi global.

"Kenaikan caj pelabuhan ini akan menambahkan lagi tekanan kepada industri pengeluaran yang kini turut terkesan dari kenaikan kos operasi serta 10 peratus tarif yang dikenakan oleh Amerika Syarikat terhadap barangan Malaysia.

"Ditambah lagi dengan kenaikan tarif elektrik juga pada bulan yang sama sudah pasti akan menjadikan industri pengeluaran dan eksport tidak kompetatif serta menjejaskan ekonomi negara," katanya menerusi kenyataan pada Selasa.

Ahli Parlimen Tangga Batu itu berkata, caj baharu itu juga dibimbangi menyebabkan risiko penghantaran kargo dipindahkan ke negara jiran yang kosnya lebih rendah.

"Caj pelabuhan yang baharu iaitu sekitar AS$120 - AS$130 (RM508 - RM551) per TEU akan menyamai caj pelabuhan di Singapura dan Hong Kong tetapi ia lebih tinggi berbanding Vietnam, Indonesia dan Thailand.

"Dengan caj yang tinggi dibimbangi akan mengurangi 'value proposition' pelabuhan di Malaysia dan risiko kargo dialihkan ke negara jiran yang lebih murah," katanya.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew sebelum ini memaklumkan kerajaan sedang meneliti cadangan kenaikan caj perkhidmatan pelabuhan secara berperingkat, namun keputusan itu masih belum dimuktamadkan dan belum diwartakan.

Beliau berkata caj pelabuhan merupakan bayaran yang dikawal selia Lembaga Pelabuhan dan tidak boleh dinaikkan sewenang-wenangnya.