ALOR SETAR - Perpaduan bangsa bukan dibina melalui penubuhan sekretariat baharu, sebaliknya ia memerlukan dasar dan pentadbiran yang adil, bersih, dan realistik.
Pengarah Komunikasi UMNO Kedah, Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri berkata, sehubungan itu, semua pihak perlu berhenti memainkan sentimen yang boleh memecah-belahkan rakyat demi kepentingan politik jangka pendek.
Menurutnya, sekiranya benar-benar ikhlas mahu melihat Melayu kuat, langkah terbaik ialah dengan memperkukuhkan institusi sedia ada, bukan melahirkan serpihan demi serpihan yang hanya melemahkan kekuatan politik bangsa sendiri.
“Sebagai ahli politik Melayu, saya menyokong mana-mana usaha penyatuan, tetapi dengan syarat ia lahir daripada keikhlasan, bukan daripada kekecewaan politik atau cubaan menghidupkan kembali pengaruh yang telah ditolak rakyat,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Menurut Naib Ketua UMNO Bahagian Alor Setar itu, usaha memperkukuhkan perpaduan dalam kalangan orang Melayu tidak harus bersandar kepada retorik politik atau slogan yang diulang semata-mata, sebaliknya ia memerlukan kejujuran dan keikhlasan tulen.
“Sebarang inisiatif ke arah penyatuan perlu disambut baik, namun mestilah bebas daripada kepentingan peribadi.
“Rakyat kini semakin matang dan mampu menilai motif sebenar di sebalik pelbagai gagasan baharu yang muncul, khususnya menjelang pilihan raya,” ujarnya.
Syed Mohd Johan Rizal berkata, tidak dinafikan pelbagai parti dan gerakan yang diasaskan atas nama Melayu sebelum ini gagal membuktikan keberkesanannya, malah lebih banyak memecah-belahkan kesatuan Melayu.
“Apabila wajah dan suara yang sama muncul kembali dengan label baharu, rakyat berhak mempersoalkan motif dan keikhlasan,” katanya.
Tegasnya, orang Melayu pada hari ini tidak menghadapi ancaman dari segi representasi politik kerana kepimpinan utama negara masih didominasi oleh pemimpin Melayu-Islam.
“Sebenarnya yang terancam ialah ekonomi isi rumah, masa depan anak muda dan kestabilan sosial. Itulah perkara yang perlu diperjuangkan, bukan naratif lapuk yang digunakan setiap kali menjelang pilihan raya umum,” ujarnya.
Tambahnya, rakyat semakin matang dalam menilai, namun bukan berdasarkan siapa paling kuat melaungkan ‘perjuangan Melayu’, tetapi siapa yang benar-benar turun padang menyelesaikan masalah rakyat secara konsisten.
Pada 4 Jun lalu, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan inisiatif baharu untuk menggabungkan orang Melayu di bawah satu payung melalui Sekretariat Orang Melayu dalam usaha ‘mengembalikan kuasa Melayu’.
Menurutnya, sekretariat itu bersifat terbuka dan merentasi sempadan politik, di mana mana-mana individu Melayu termasuk ahli parti lain boleh menyertainya asalkan bersetuju dengan matlamat untuk memperjuangkan kedudukan orang Melayu.