JOHOR BAHRU – Parti Amanah Negara (Amanah) Johor menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim agar memberikan lebih banyak ruang kepada parti itu dalam barisan kabinet susulan peletakan jawatan dua menteri baru-baru ini.
Naib Pengerusinya, Dr Zuhan Zain berkata, kekosongan dalam kabinet telah membuka peluang kepada parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan untuk mencadangkan nama masing-masing, termasuk UMNO yang dilihat mengemukakan nama pemimpin yang telah dipecat keahlian.
Menurut beliau, Amanah wajar dipertimbangkan memandangkan prestasi cemerlang pemimpin-pemimpinnya dalam kerajaan selama ini.
“Kepimpinan Amanah sentiasa komited mempertahankan Kerajaan Perpaduan daripada serangan pihak lawan. Kami yakin dengan kemampuan pemimpin kami untuk terus memperkukuh pentadbiran negara,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Zuhan turut menyifatkan usaha dan komitmen yang ditunjukkan oleh Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub dalam memperjuangkan agenda Rahmah, serta prestasi Datuk Seri Mohamad Sabu selaku Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan sebagai bukti kesungguhan Amanah.
Beliau turut menyebut prestasi membanggakan Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad serta Timbalan Menteri seperti Adly Zahari dan Datuk Aiman Athirah Sabu.
“Memang benar kekosongan dua kementerian itu merupakan kuota PKR, namun apabila UMNO mula mencadangkan pemimpin dari luar PKR, maka ia membuka ruang kepada semua parti dalam gabungan Kerajaan Perpaduan untuk mengemukakan calon masing-masing,” tambahnya.
Dua anggota kabinet sebelum ini mengumumkan peletakan jawatan daripada pentadbiran Kerajaan Perpaduan selepas masing-masing tewas dalam pemilihan parti pada bulan lalu.
Mereka adalah Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli dan Menteri Sumber Asli Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad yang gagal mempertahankan jawatan disandang dalam PKR.