KOTA KINABALU – Segala bentuk kerjasama antara UMNO–Barisan Nasional (BN) Sabah dengan parti politik lain perlu ditentukan secara objektif, rasional, dan strategik, bukan secara terburu-buru atau terpengaruh dengan tekanan semasa.
Ketua Penerangan UMNO Sabah, Datuk Suhaimi Nasir, menegaskan bahawa pendirian BN Sabah bukanlah satu bentuk penolakan mutlak terhadap kerjasama politik, sebaliknya merupakan pendekatan berhati-hati yang berpandukan kepada pengalaman masa lalu.
“UMNO Sabah tidak menutup ruang untuk kerjasama. Namun, sebarang keputusan untuk membentuk gabungan politik mestilah berpaksikan kepentingan rakyat, kestabilan negeri, serta pelajaran daripada sejarah politik terdahulu, khususnya episod Pilihan Raya Negeri ke-16 (PRN16) yang lalu.
“Ketika itu, terdapat bentuk kerjasama yang akhirnya membawa implikasi politik merugikan kepada BN, termasuk dari sudut integriti, kepercayaan dan ketidakjelasan hala tuju bersama.
“Ia bukan hanya soal perbezaan ideologi, tetapi turut melibatkan isu kejujuran politik serta konsistensi dalam kepemimpinan,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Ahli Parlimen Libaran itu turut menegaskan bahawa dalam menentukan hala tuju masa depan Sabah, persoalannya bukan sekadar berapa banyak parti boleh duduk semeja.
“Tetapi soal utamanya ialah bagaimana gabungan yang dibentuk itu mampu menjamin kestabilan, integriti, dan pembangunan jangka panjang untuk rakyat,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menjelaskan bahawa pendekatan UMNO dan BN Sabah pada kali ini adalah jelas dan berprinsip, terutama dalam menghadapi desakan politik yang bersifat sementara.
“Kami tidak akan mengulangi kesilapan lampau dan kami tidak akan membenarkan UMNO Sabah sekali lagi diposisikan dalam situasi politik yang meminggirkan suara akar umbi kami,” tegasnya.
Beliau turut menjelaskan bahawa keputusan UMNO dan BN Sabah untuk bersikap lebih berhati-hati adalah satu langkah konstruktif dan bukannya konfrontatif.