SHAH ALAM - Sayap Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengumumkan jawatan lantikan barisan kepimpinan baharu bagi penggal 2025 hingga 2028 yang diyakini mampu menggalas agenda perjuangan rakyat secara progresif dan inklusif.
Ketua Wanitanya, Fadhlina Sidek berkata, pelantikan tersebut dibuat dengan penuh rasa tanggungjawab dan kepercayaan terhadap komitmen serta iltizam perjuangan yang ditunjukkan oleh barisan pemimpin wanita parti itu.
Antara yang dilantik ialah bekas Naib Ketua Wanita PKR, Sangetha Jayakumar yang kini memegang jawatan Setiausaha.
Bagi jawatan Naib Ketua Wanita Lantikan pula, ia diisi oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hutan Melintang, Wasanthee Sinnasamy, manakala jawatan Bendahari disandang oleh ADUN Indera Kayangan, Gan Ay Ling.
Jawatan Ketua Srikandi disandang oleh Nurhidayah Che Rose, sementara Uma Nanthini dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa Lantikan.
Pelantikan turut melibatkan beberapa biro strategik yang akan memperkukuh peranan Wanita PKR di peringkat pusat.
Antara yang dilantik ialah Pua Pei Ling (Biro Strategi), Nurhayati Umor (Biro Komunikasi), Armila Alias (Biro Pendidikan), Rosmawaty Muhamad Ros (Biro Kebajikan) dan Nor Azmiza Mamat (Biro Kemanusiaan).
Pelantikan lain ialah Datin Sabrina Ahmad (Biro Usahawan), Lim King Eng (Biro Latihan), A. Telagapathi (Biro Guaman), Saira Banu (Setiausaha Pengelola) dan Datuk Ginie Lim (Biro Antarabangsa).
Turut dilantik ialah Farahida Fauzi (Biro Pemantapan Agama), Maisarah Ismail (Biro Mobilisasi), Idawate Pariman (Biro Kemasyarakatan) dan Yong Bazilah Abu Bakar (Sekolah Wanita).