SHAH ALAM – Keputusan mahkamah berhubung kes rayuan melibatkan SIS Forum (Malaysia) bukan sekadar bersifat perundangan semata-mata, bahkan dianggap sebagai ancaman pemikiran yang mencabar kesucian akidah umat Islam serta meruntuhkan keabsahan institusi fatwa.
Ketua Dewan Ulama Pas Selangor, Dr Mohd Zamri Mohd Zainuldin, berkata keputusan itu boleh membuka laluan kepada lebih banyak gerakan liberal dan sekular untuk mencabar autoriti agama di mahkamah sivil, sekiranya mahkamah memutuskan untuk membatalkan fatwa berkenaan.
Sehubungan itu, menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Burong itu, semua umat Islam di Malaysia diminta untuk bermunajat agar ALLAH SWT menetapkan kebenaran dan melindungi agama Islam daripada kekeliruan serta penyimpangan.
“Umat Islam juga perlu menyedari hakikat ancaman yang dibawa oleh fahaman yang menyeleweng, walaupun dibungkus dengan nama hak asasi dan kebebasan bersuara. Selain itu, kita perlu bersatu mempertahankan institusi fatwa sebagai benteng akidah dan pegangan umat Islam di Malaysia.
“Malah, Kerajaan Selangor dan Kerajaan Persekutuan wajar mengambil langkah proaktif untuk mengangkat kedudukan institusi fatwa ke tahap yang lebih tinggi di negeri ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Untuk rekod, SIS Forum (Malaysia) sebelum ini telah mencabar keabsahan fatwa yang diwartakan oleh pihak berkuasa agama negeri itu pada 17 Julai 2014, yang mengisytiharkan organisasi tersebut, mana-mana individu serta kumpulan yang mengamalkan fahaman liberalisme dan pluralisme agama sebagai menyeleweng daripada ajaran Islam.
Cabaran itu bermula di Mahkamah Tinggi pada 2020 dan kemudiannya dirayu ke Mahkamah Rayuan Putrajaya pada 14 Mac 2023, yang secara majoriti menolak rayuan berkenaan.
Bagaimanapun, SIS Forum meneruskan cabaran mereka dengan mengemukakan rayuan ke Mahkamah Persekutuan yang kini menanti keputusan muktamad dijangka diumumkan pada pertengahan bulan ini.