KLANG - Angkatan Muda Keadilan (AMK) Klang membidas kenyataan Pemuda Pas Selangor yang mendesak agar subsidi gas petroleum cecair (LPG) dikembalikan sepenuhnya, dengan mendakwa gesaan itu tidak memahami dasar subsidi bersasar yang dilaksanakan oleh Kerajaan Madani.
Ketuanya, Mohamad Shahrul Adnan, berkata subsidi LPG masih disalurkan kepada golongan yang benar-benar memerlukan seperti isi rumah B40 dan peniaga kecil, manakala subsidi kepada syarikat besar, restoran mewah, dan golongan kaya telah dihentikan.
"Yang dihentikan ialah subsidi kepada industri besar yang sebelum ini turut menumpang subsidi yang sepatutnya untuk rakyat marhaen. Dasar subsidi bersasar ini adalah lebih adil dan progresif," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Beliau turut merujuk kenyataan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali pada 29 Mei lalu, yang menjelaskan bahawa subsidi akan terus disalurkan kepada pengguna domestik dan peniaga kecil, manakala tong gas komersial berwarna ungu tidak lagi menerima subsidi.
Mohamad Shahrul menyifatkan Pemuda Pas Selangor sama ada tidak memahami fakta atau sengaja menjadi jurucakap kepada golongan elit yang selama ini mendapat manfaat subsidi secara tidak adil.
"Persoalannya, siapa yang mereka perjuangkan? Rakyat marhaen atau golongan mahakaya?" soalnya.
Tambah beliau, cadangan agar subsidi LPG dikembalikan sepenuhnya adalah tidak munasabah dan tidak bertanggungjawab kerana boleh membebankan kewangan negara serta membuka semula ruang kepada ketirisan, penyeludupan, dan penyelewengan seperti yang berlaku sebelum ini.
"Kerajaan Madani di bawah pimpinan Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) komited melaksanakan reformasi fiskal demi memastikan keadilan sosial. Subsidi bersasar ini menjamin bantuan sampai kepada yang benar-benar layak," katanya.
Beliau turut menyeru Pemuda Pas Selangor supaya menghentikan retorik populis yang tidak berpijak pada realiti dan tidak menjadi ejen propaganda kepada golongan elit.
Pada Isnin, Ketua Pemuda Pas Selangor, Mohamed Sukri Omar, menggesa kerajaan agar segera mengembalikan semula LPG bersubsidi kepada rakyat yang layak dan menghentikan segala bentuk tekanan terhadap golongan peniaga kecil yang semakin terhimpit dengan pelbagai cabaran ekonomi.
Mohamed Sukri menegaskan bahawa tiada sebarang justifikasi munasabah untuk menyekat penggunaan LPG bersubsidi oleh peniaga kecil yang menjadi tulang belakang ekonomi rakyat.
Tambahnya, kerajaan seharusnya membela dan melindungi nasib rakyat, bukan memperkenalkan dasar yang zalim dan tidak berperikemanusiaan.