ALOR SETAR – Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang tidak pernah memberi bayangan untuk berundur daripada jawatan yang disandang.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, desas-desus yang mendakwa Abdul Hadi akan melepaskan jawatan Presiden pada Muktamar Pas akan datang disifatkan sebagai tidak berasas dan hanya khabar angin.
Menurutnya, sehingga kini tiada sebarang isyarat atau kenyataan daripada Abdul Hadi yang menunjukkan beliau akan berundur daripada menerajui parti Islam itu.
“Setakat ini, memang tak ada ura-ura. Tok Guru (Abdul Hadi) sendiri tidak pernah menyuarakan hasrat untuk berundur dalam mana-mana majlis rasmi parti.
“Memang kesihatan beliau kelihatan sedikit merosot, tetapi beliau masih mampu menjalankan tanggungjawab dengan baik. Sampai ada buat cerita beliau nak undur, itu tandanya mereka gerun dengan aura Abdul Hadi,” katanya dalam sidang akhbar pada majlis ramah mesra Aidiladha Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) di sini pada Selasa.
Muhammad Sanusi berkata, setakat ini Abdul Hadi masih mampu melaksanakan tugas sebagai Presiden dengan baik.
“Pas masih mahukan idea, pandangan, nasihat beliau. Itu kerja Presiden, bukan kita campur semua hal,” ujarnya.
Menurut Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat itu, pemimpin seperti Abdul Hadi bukan sekadar tokoh parti, malah mempunyai peranan besar di peringkat antarabangsa.
“Kita minta Tok Guru terus kekal. Dunia ini masih perlukan beliau, bukan Malaysia dan Pas sahaja. Dunia Islam memerlukan pengalaman beliau dalam menjalin hubungan dengan badan-badan antarabangsa, menyelesaikan konflik kemanusiaan dan politik, serta memperdekatkan perbezaan antara mazhab dalam Islam.
“Susah nak cari pemimpin yang ada idea, mental sihat dan kuat lebih penting berbanding fizikal. Pemikiran yang ada dalam kepala Tok Guru sentiasa relevan dan bagus, susah cari pemimpin seperti ini, jadi kita kekalkanlah,” katanya.
Ditanya mengenai kemungkinan Abdul Hadi akan terus bertanding bagi jawatan Presiden Pas pada pemilihan akan datang, Muhammad Sanusi berkata, perkara itu belum diputuskan kerana proses pencalonan masih belum bermula.
“Sabar, saya tak tahu (pencalonan Presiden), bukan masanya lagi. Tempoh untuk menghantar pencalonan belum bermula.
“Bulan Ogos nanti barulah Pas kawasan-kawasan akan mula adakan mesyuarat agung tahunan dan menghantar pencalonan. Jadi kita tunggu dan lihat, ini belum masanya untuk buat spekulasi,” ujarnya.
Pada 6 Jun, Sinar Harian melaporkan Abdul Hadi dikatakan memberi bayangan untuk berundur daripada jawatan tersebut atas faktor kesihatan.
Difahamkan, Ahli Parlimen Marang itu menyampaikan hasrat tersebut kepada barisan kepimpinan tertinggi dalam satu retreat parti yang diadakan di Kuala Terengganu.
Namun, tiada pengesahan rasmi dikeluarkan oleh parti mahupun Abdul Hadi sendiri setakat ini.