Annuar Musa bimbang dakwaan intimidasi politik, gesa kerajaan tidak salah guna kuasa

SHAH ALAM – Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Tan Sri Annuar Musa, menyuarakan kebimbangan terhadap dakwaan intimidasi politik terhadap orang awam oleh segelintir agensi kerajaan dan penjawat awam, sebagaimana didedahkan oleh Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli baru-baru ini.

Annuar, yang juga bekas Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), berkata sekiranya dakwaan yang dikemukakan oleh bekas Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu benar, ia merupakan satu perkembangan yang amat mendukacitakan dan boleh menjejaskan asas demokrasi negara.

“Mutakhir ini, kita dengar aduan daripada orang awam dan rakyat biasa yang diganggu hak dan kebebasan mereka untuk bergerak serta bersuara.

“Lebih merisaukan, perkara itu datang daripada penyokong kerajaan sendiri yang tidak sehaluan,” katanya menerusi hantaran di akaun Facebook miliknya pada Isnin.

Beliau menegaskan bahawa rakyat Malaysia secara umumnya menolak segala bentuk penindasan, kezaliman dan penyalahgunaan kuasa.

Annuar turut menzahirkan kebimbangan terhadap dua kementerian yang kini menjadi perhatian rakyat, termasuk Kementerian Komunikasi yang pernah diterajuinya.

Terdahulu, Rafizi menggesa agar penjawat awam tidak dijadikan alat untuk mengintimidasi rakyat yang memberikan pandangan berbeza terhadap implikasi pemilihan PKR bagi penggal 2025–2028.

Menurut Ahli Parlimen Pandan itu, sejak seminggu lalu, beberapa individu yang memberi ulasan kritikal terhadap proses dan keputusan pemilihan parti tersebut telah dikenakan pelbagai bentuk tindakan siasatan oleh pihak berkuasa, termasuk Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Saya telah menerima aduan daripada orang awam yang menyatakan mereka didatangi oleh pegawai SKMM dan polis, ada antaranya tanpa dokumen rasmi, manakala telefon pintar dan kad SIM turut dirampas,” katanya.