SHAH ALAM - Bekas ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz tidak bersetuju dengan konsep mengadakan pilihan raya kecil (PRK) bagi merebut jawatan dalam kerajaan tanpa keperluan mendesak.
Beliau berkata, ia kerana pelaksanaan PRK mengambil masa lama dan melibatkan wang rakyat.
Malah, menurutnya, tiada sebarang perbincangan berlaku mengenai perkara tersebut dan ia bukan sebahagian daripada pertimbangannya dalam membuat keputusan meninggalkan UMNO demi menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR).
“Saya akan terus melaksanakan tugas sebagai ahli Dewan Negara sehingga tamat tempoh perkhidmatan pada Disember tahun ini.
“Berkenaan kedudukan sebagai seorang menteri, saya menyerahkan sepenuhnya isu ini kepada budi bicara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Saya sentiasa bersedia untuk berkhidmat kepada negara dalam apa jua kapasiti. Saya meninggalkan dunia korporat kerana niat untuk berkhidmat dan selagi diperlukan, saya bersedia untuk terus menyumbang tanpa perlu jawatan,“ katanya menerusi hantaran di Instagram pada Isnin.
Sebelum ini, arena politik heboh apabila Tengku Zafrul mengumumkan peletakan jawatan daripada semua posisi dalam UMNO untuk menyertai PKR.
Menurut Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri itu, keputusan dibuat selepas mengambil masa panjang untuk menilai keserasian serta kesesuaian perjuangan politik yang ingin diteruskan.
Timbalan Ketua (Strategi), Pejabat Asia, Rangkaian Penyelesaian Pembangunan Mampan PBB (SDSN-Asia) Universiti Sunway, Profesor Wong Chin Huat sebelumnya berpandangan, Tengku Zafrul memerlukan PRK untuk kekal relevan dalam politik.
Dalam pada itu, Tengku Zafrul sekali lagi menegaskan, keputusan untuk berundur daripada UMNO adalah pilihan peribadi sepenuhnya dan bukan atas dasar paksaan mana-mana pihak.
“Saya akui ia bukanlah satu keputusan mudah, namun saya telah mempertimbangkan semua pandangan dengan cukup mendalam. Setiap individu berhak membuat pilihan peribadi dan saya amat menghargai pendapat serta penerimaan terhadap keputusan ini.
“Sekali lagi saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, sahabat MKT UMNO, seluruh akar umbi terutamanya UMNO Bahagian Kota Raja dan rakan-rakan yang sentiasa memberikan sokongan sepanjang tempoh saya bersama parti.
“Doakan saya terus istiqamah dalam perjuangan berbekalkan semangat baharu sebaik pulang dari Tanah Suci Makkah,“ ujarnya lagi.