SHAH ALAM - Cadangan menyatukan orang Melayu di bawah satu payung besar perlu libatkan penyertaan masyarakat terutama golongan muda, penjaja kecil dan mereka yang tidak berparti berbanding fokus kepada penyatuan parti politik semata-mata.
Presiden Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (Ikhlas), Mohd Ridzuan Abdullah berkata, usaha tersebut harus bersifat inklusif terutama orang Melayu bagi meraih sokongan golongan itu menjelang pilihan raya umum akan datang.
"Bukan semua orang Melayu suka dengan parti politik. Kita perlukan pendekatan baharu, mungkin melalui NGO (pertubuhan bukan kerajaan), gerakan sosial atau platform rakyat biasa.
"Jadi Tun (Dr Mahathir) perlu cari satu idea bagaimana cara mengajak mereka yang bukan ahli politik untuk turut bersama mengembalikan kuasa mutlak orang Melayu," katanya.
Sebelum ini, Dr Mahathir yang juga bekas Perdana Menteri mengumumkan penubuhan Sekretariat Orang Melayu bagi menyatukan semua pihak yang memperjuangkan nasib orang Melayu di bawah satu payung besar.
Bekas Ahli Parlimen Langkawi itu berkata, inisiatif tersebut merupakan langkah untuk mengembalikan kuasa politik dan cabaran yang dihadapi orang Melayu.
Menurutnya, ia bukan sebuah parti politik tetapi usaha untuk satukan semua gerakan yang memperjuangkan orang Melayu dalam satu kumpulan.
Dalam pada itu, Mohd Ridzuan berpendapat, penting untuk menarik minat pengundi Melayu yang tidak turun mengundi pada pilihan raya lalu selain mencari pendekatan berkesan melibatkan golongan profesional di luar negara.
“Bangsa Cina sanggup pulang dari luar negara untuk mengundi. Kita pula masih bergantung kepada orang politik.
"Kalau kita tak tarik mereka yang tiada kepentingan politik, agenda penyatuan Melayu ini akan gagal," ujarnya.