Jawatan Perdana Menteri bukan perisai undang-undang - Hamzah

SHAH ALAM – Jawatan Perdana Menteri tidak harus dijadikan perisai oleh mana-mana pihak untuk mengelakkan perbicaraan di mahkamah.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin menegaskan bahawa pemimpin negara mempunyai tanggungjawab moral untuk memperlihatkan teladan kepimpinan dengan bersedia melalui setiap proses kehakiman secara terbuka demi menjaga imej serta kemuliaan institusi Perdana Menteri.

"Penolakan Mahkamah Tinggi terhadap permohonan rujukan undang-undang (Perdana Menteri) Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai imuniti adalah selari dengan prinsip asas kedaulatan undang-undang dan doktrin pemisahan kuasa.

"Jika Perdana Menteri mendakwa rujukannya bertujuan untuk memastikan jawatan awam tertinggi dilindungi daripada litigasi yang mungkin berlaku secara strategik, bermotifkan politik atau mengganggu institusi, saya yakin sistem perundangan Malaysia sudah mempunyai mekanisme untuk menapis saman yang remeh atau berniat jahat," katanya menerusi kenyataan pada Khamis.

Pada 23 Mei lalu, Anwar dilapor memohon kepada Mahkamah Tinggi untuk merujuk lapan persoalan undang-undang kepada Mahkamah Persekutuan bagi diputuskan, antaranya sama ada beliau mempunyai imuniti daripada saman sivil yang difailkan bekas penyelidiknya, Muhammed Yusoff Rawther.

Susulan itu, Hakim Mahkamah Tinggi, Roz Mawar Rozain pada Rabu memutuskan bahawa Ahli Parlimen Tambun itu gagal dalam permohonannya selepas mendapati ia tidak memenuhi peruntukan Seksyen 84 Akta Mahkamah Kehakiman 1964 (CJA).

Ketika membaca keputusan tersebut, beliau menjelaskan bahawa tiada satu pun peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan yang menimbulkan sebarang persoalan undang-undang perlembagaan yang nyata, substantif atau boleh diadili hingga memerlukan penentuan oleh Mahkamah Persekutuan di bawah Perkara 128(2) Perlembagaan Persekutuan atau Seksyen 84 Akta Mahkamah Kehakiman 1964.

Sehubungan itu, mahkamah mengarahkan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu membayar kos sebanyak RM20,000 dan memerintahkan kes saman berkenaan diteruskan pada tarikh yang telah ditetapkan sebelum ini, iaitu pada 16 Jun depan.

Sementara itu, Hamzah turut menegaskan bahawa menjadi satu penghinaan sekiranya ada pihak yang cuba memberikan gambaran seolah-olah badan kehakiman negara tidak mampu membezakan antara tuntutan sah dengan motif politik.

"Konsistensi adalah penting. Kebebasan badan kehakiman sepatutnya dipertahankan," ujarnya.