KOTA BHARU – Perikatan Nasional (PN) mencabar pihak yang mendakwa kononnya 10 ahli Parlimen pembangkang menyatakan sokongan kepada Kerajaan Madani agar tampil mengemukakan bukti, termasuk mendedahkan identiti mereka.
Ketua Whip PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, dakwaan seumpama itu bukan perkara baharu dalam suasana politik semasa, namun tidak wajar dibiarkan berlegar tanpa asas yang kukuh.
“Kenapa 10 sahaja? Kami ada 74 kerusi di Parlimen. Jadi, apabila dengar cerita macam ni, kita anggap ini bukan perkara asing dalam suasana politik sekarang. Sebelah sana pun ada kata kononnya 11 orang mereka pula nak menyeberang.
“Itu semua reaksi biasa. Tapi orang yang buat dakwaan ini kena buktikan, ahli Parlimen mana satu? Jangan lempar dakwaan begitu saja tanpa sebarang asas,” katanya pada sidang akhbar di Pejabat Ahli Parlimen Kota Bharu, pada Ahad.
Beliau yang juga Setiausaha Agung Pas berkata, PN yakin kesemua 74 ahli Parlimen gabungan itu termasuk daripada Pas kekal konsisten dan tidak menunjukkan sebarang petanda akan berpaling arah.
“Bagi pihak kami, PN yakin semua ahli Parlimen kami akan kekal bersama.
“Tak ada mana-mana yang menunjukkan akan pergi ke tempat lain,” tegas beliau.
Sebelum ini, sebuah laporan media memetik sumber mendakwa kononnya 10 ahli Parlimen pembangkang menandatangani ikrar menyokong Kerajaan Madani atas alasan menjaga kestabilan politik dan menolak permainan persepsi yang boleh menggugat mandat rakyat.
Bagaimanapun, PN secara tegas menolak dakwaan itu sebagai tidak berasas dan menyifatkannya hanya cubaan melemahkan kekuatan pembangkang dari luar.