KLUANG – Hampir 1,000 penduduk dan jentera Pakatan Harapan (PH) menyambut ketibaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Warung Pak Din, Kampung Sahri, Simpang Renggam di sini pada Ahad.
Anwar yang juga Pengerusi PH tiba kira-kira jam 8.40 pagi dan disambut dengan laungan "Reformasi" daripada penyokong yang hadir.
Beliau meluangkan kira-kira 20 minit bersarapan bersama penduduk sebelum mengambil kesempatan beramah mesra dan memenuhi permintaan orang ramai untuk berswafoto.
**media[3572001]**
Turut mengiringi beliau ialah calon PH bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap, Nor Hafiz Roslan dan calon DUN Layang-Layang, Guna Balakrishnan.
Nor Hafiz dijadual berdepan saingan dua penjuru menentang Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi daripada Barisan Nasional (BN), manakala Guna Balakrishnan bertanding dalam pertandingan tiga penjuru menentang Chua Jian Boon (BN-MCA) dan Abd Mutalip Abd Rahim (PN-Bersatu).