'Ini keputusan saya' - Tengku Zafrul

SHAH ALAM – Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mengakui bahawa keputusan untuk berundur daripada UMNO dan menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) adalah keputusan yang dibuat atas kehendaknya sendiri.

Menurutnya, keputusan itu dibuat setelah berfikir secara mendalam dan bukan dipengaruhi atau dipaksa oleh mana-mana pihak.

“Keputusan ini bukan keputusan yang mudah. Tetapi, saya telah memikirkannya secara mendalam. Pada masa yang sama, ingin saya tegaskan bahawa ini adalah pilihan saya sendiri. Bukan dipaksa oleh mana-mana pihak.

“Saya juga amat menghargai mereka yang memahami bahawa saya juga mempunyai hak sebagai individu dalam menentukan hala tuju politik saya,” katanya ketika ditemui pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum berangkat ke Tanah Suci bagi menunaikan ibadah haji pada Sabtu.

Sebelum ini, dilaporkan bahawa Tengku Zafrul telah menghantar surat peletakan jawatan dalam UMNO untuk menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Beliau juga mengesahkan bahawa surat peletakan jawatan sebagai Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT), Ketua UMNO Bahagian Kota Raja dan ahli UMNO telah diserahkan kepada pucuk pimpinan parti.

Selain itu, Tengku Zafrul turut mengesahkan bahawa beliau telah menyatakan hasrat untuk menyertai PKR kepada Presiden, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Setiausaha Agung, Dr Fuziah Salleh.

Dalam pada itu, Tengku Zafrul turut merakamkan penghargaan kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta rakan-rakan parti yang telah banyak memberi sokongan dan dorongan sepanjang penglibatannya dalam UMNO.

“Buat masa ini, saya mohon kepada semua agar memberikan saya ruang untuk fokus kepada ibadah haji. Saya mohon doa agar segala urusan saya, isteri dan keluarga dipermudahkan di sana.

“Kepada para sahabat dan kenalan, saya juga ingin memohon maaf sekiranya ada terkasar bahasa atau sebarang kekhilafan sepanjang persahabatan kita. Insya-ALLAH saya akan sentiasa mendoakan kesejahteraan negara dan kemakmuran seluruh rakyat Malaysia ketika berada di Tanah Suci,” katanya.