Wong Chen tidak terkejut Rafizi letak jawatan

SHAH ALAM - Ahli Parlimen Subang, Wong Chen tidak terkejut dengan keputusan Datuk Seri Rafizi Ramli meletakkan jawatan sebagai Menteri Ekonomi.

Beliau berkata, tindakan itu adalah bukti Rafizi menunaikan kata-katanya.

“Saya menghormati keputusannya untuk meletakkan jawatan sebagai menteri.

“Ia bukan satu kejutan kerana beliau menunaikan kata-katanya,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Terdahulu, Chen berlapang dada dan reda susulan kekalahannya dalam pemilihan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi sesi 2025-2028.

Chen menyatakan kesediaan menerima keputusan tersebut dan menegaskan komitmennya untuk terus bersama kem pilihan beliau.

Dalam pada itu, menurut Chen, keberanian Rafizi wajar dipuji dan negara memerlukan lebih ramai ahli politik yang menepati janji.

“Saya memuji keberaniannya. Kita perlukan lebih ramai ahli politik yang menunaikan janji mereka,” ujarnya.

Mengulas berkenaan kedudukannya sendiri, Wong menegaskan tiada sebarang perubahan buat masa ini.

Jelasnya, beliau akan terus berkhidmat kepada pengundinya sebagai Ahli Parlimen dan menjalankan tugas secara profesional dalam jawatankuasa di Parlimen.

“Bagi diri saya pula, tiada sebarang perubahan.

“Saya akan terus berkhidmat kepada pengundi saya sebagai Ahli Parlimen dan menjalankan tugas saya secara profesional dalam jawatankuasa saya di Parlimen Malaysia,” kata beliau.

Pada Rabu, Rafizi mengesahkan beliau telah menghantar sepucuk surat peletakan jawatan sebagai Menteri Ekonomi kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Peletakan jawatan tersebut akan berkuat kuasa mulai 17 Jun depan.

Beliau menjelaskan langkah itu diambil sebagai tanda menghormati prinsip kebertanggungjawaban dan mandat rakyat yang menjadi asas perjuangannya dalam politik sejak awal penglibatan.

Sebelum ini, Rafizi pernah menyatakan kesediaannya untuk melepaskan jawatan Menteri Ekonomi sekiranya gagal mempertahankan kerusi Timbalan Presiden dalam pemilihan PKR pada 23 Mei lalu.

Dalam program ‘Yang Bakar Menteri: Yang Berhenti Menteri’ yang berlangsung di Dewan Serbaguna Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ), Ahli Parlimen Pandan itu menegaskan bahawa jika tewas, beliau akan kembali menjadi Ahli Parlimen biasa dan terus membantu parti mendekati golongan muda.

Keputusan pemilihan PKR baru-baru ini menyaksikan kemenangan berpihak kepada Nurul Izzah Anwar yang kini secara rasmi memegang jawatan Timbalan Presiden parti.