Pemuda UMNO Selangor gesa komposisi menteri UMNO dalam Kabinet dikekalkan

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Pemuda UMNO Selangor menyifatkan tindakan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz meletak jawatan dalam UMNO dan menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) sebagai tidak bertanggungjawab dan mengecewakan.

Ketua Pemudanya, Datuk Mohd Imran Tamrin berkata, tindakan tersebut tidak seharusnya dijadikan teladan dan bukan satu precedent yang baik dalam amalan politik negara.

“Kedudukan beliau dalam Kabinet sebelum ini adalah berdasarkan kapasitinya sebagai pemimpin tertinggi UMNO," katanya.

Justeru, Pemuda UMNO Selangor menggesa pucuk pimpinan UMNO supaya mempertahankan jumlah komposisi menteri dan timbalan menteri daripada parti itu dalam Kabinet Kerajaan Perpaduan.

“Kita mahu jumlah tujuh (7) menteri dan lima (5) timbalan menteri daripada UMNO dikekalkan.

"Ia penting bagi menjaga keseimbangan suara parti dalam kerajaan,” tegas Imran lagi.

Sebelum ini, dilaporkan bahawa Tengku Zafrul telah menghantar surat peletakan jawatan dalam UMNO untuk menyertai PKR.

Beliau juga mengesahkan bahawa surat peletakan jawatan sebagai Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT), Ketua UMNO Bahagian Kota Raja dan ahli UMNO telah diserahkan kepada pucuk pimpinan parti.

Selain itu, Tengku Zafrul turut mengesahkan bahawa beliau telah menyatakan hasrat untuk menyertai PKR kepada Presiden, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Setiausaha Agung, Dr Fuziah Salleh.

Dalam pada itu, Tengku Zafrul turut merakamkan penghargaan kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta rakan-rakan parti yang telah banyak memberi sokongan dan dorongan sepanjang penglibatannya dalam UMNO.