PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Perdana Menteri memilih untuk tidak mengulas lanjut mengenai isu peletakan jawatan Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli.
Sebaliknya, Datuk Seri Anwar Ibrahim kembali menyoal pemberita berhubung perkara itu.
"Siapa beritahu (perletakan jawatan Rafizi)?" soalnya sebelum beredar meninggalkan pekarangan Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini pada Rabu.
Terdahulu, pengamal media yang hadir ke Majlis Penutupan Persidangan Juruaudit ASEAN 2025, di sini sempat bertanyakan kepada Anwar sama ada Rafizi akan letak jawatan atau tidak susulan kekalahan dalam pemilihan PKR baru-baru ini.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil pada Selasa memaklumkan pihaknya tidak menerima sebarang maklumat terperici mengenainya.
Dua minggu lalu, Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan menyatakan kesediaan untuk meletakkan jawatan sebagai Menteri Ekonomi jika tewas dalam pemilihan PKR, Jumaat lepas.