KOTA KINABALU – Cadangan 13 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang disasarkan untuk ditandingi Parti Keadilan Rakyat (PKR) bukan bermaksud wujud campur tangan atau keputusan sehala oleh kepimpinan parti di peringkat pusat.
Sebaliknya, Ahli Majlis Pimpinan Angkatan Muda Keadilan (AMK), Mohd Guntur Sangkar, mendakwa bahawa keputusan itu berteraskan kerjasama antara parti lain dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17 (PRN17).
“Cadangan tersebut adalah hasil perbincangan berterusan antara PKR Sabah dan rakan-rakan dalam Barisan Nasional (BN) serta Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
“Senarai itu dibentuk atas semangat kerjasama politik yang matang, tanpa mengetepikan peranan parti-parti tempatan,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Beliau berkata demikian sebagai respons kepada kenyataan Ketua Penerangan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Anuar Ghani, yang mengulas hasrat PKR untuk bertanding di 13 kerusi pada PRN Sabah.
Mohd Guntur, yang juga Ketua AMK Cabang Pensiangan, turut menolak andaian bahawa PKR Sabah hanya cawangan yang mengikut arahan secara membuta tuli daripada pihak pusat.
Beliau menjelaskan bahawa sejak awal penubuhannya, PKR Sabah telah dibangunkan melalui kerjasama erat antara aktivis tempatan dan kepimpinan nasional, menjadikannya parti nasional yang benar-benar berakar umbi di Sabah.
“Malah, PKR merupakan satu-satunya parti nasional yang secara rasmi meletakkan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dalam perlembagaan partinya, sebagai satu komitmen jelas terhadap hak dan autonomi Sabah.
“STAR sepatutnya menilai semula rekodnya sendiri sebelum melabel pihak lain sebagai ‘orang luar politik’. STAR pernah bersekutu dengan Perikatan Nasional (PN), sebuah gabungan yang secara terbuka telah melemahkan kedudukan Sabah dalam rundingan MA63 serta gagal menunaikan pelbagai janji pembangunan.
“Sedangkan PKR Sabah kekal konsisten dalam perjuangannya untuk reformasi dan keadilan kepada rakyat Sabah, manakala STAR terus berubah-ubah pendiriannya mengikut keselesaan politik,” ujarnya.
Sehubungan itu, Mohd Guntur menegaskan bahawa parti itu komited untuk memperjuangkan kestabilan dan prinsip dalam politik Sabah, kerana apa yang diperlukan oleh negeri itu ialah kestabilan dan prinsip, bukannya sikap mengambil kesempatan demi kepentingan sendiri tanpa memikirkan rakyat.