Pas Pahang persoal Anwar mohon imuniti saman sivil

KUANTAN – Tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memohon imuniti daripada Mahkamah Persekutuan dalam kes saman sivil yang difailkan bekas penyelidiknya, Muhammed Yusoff Rawther, menunjukkan kelemahan dan ketakutan beliau berhadapan dengan proses keadilan.

Ketua Penerangan Pas Pahang, Aireroshairi Roslan berkata, sebagai pemimpin yang sering bercakap tentang reformasi, tindakan ini bertentangan dengan prinsip yang diperjuangkannya.

Menurutnya, rakyat berhak mendapat jawapan yang jelas, bukan melihat pemimpin tertinggi negara lari daripada tanggungjawab.

“Saya dengan tegas mempersoalkan tindakan Perdana Menteri yang memohon imuniti daripada Mahkamah Persekutuan dalam kes saman sivil oleh Muhammed Yusoff.

“Perlu saya ingatkan bahawa Raja-Raja Melayu sendiri tidak mempunyai imuniti mutlak seperti yang diperuntukkan dalam Perkara 181 dan 183 Perlembagaan Persekutuan. Justeru, tidak wajar bagi Perdana Menteri yang hanya rakyat biasa memohon imuniti sedemikian,” katanya pada Khamis.

Terdahulu, Anwar memohon Mahkamah Tinggi untuk merujuk lapan persoalan undang-undang kepada Mahkamah Persekutuan bagi diputuskan.

Permohonan itu termasuk persoalan sama ada beliau mempunyai imuniti daripada saman sivil yang difailkan oleh Muhammed Yusoff empat tahun lalu.

Aireroshairi berkata, tindakan tersebut mencerminkan arogansi kuasa dan merendahkan martabat institusi Perdana Menteri.

“Anwar seolah-olah meletakkan dirinya di atas undang-undang, padahal prinsip demokrasi menegaskan bahawa tiada siapa berada di atas undang-undang,” katanya.

Beliau turut menjelaskan bahawa fakta penting yang perlu diberi perhatian ialah kejadian yang didakwa berlaku pada 2 September 2018, iaitu sebelum Anwar dilantik sebagai Perdana Menteri pada 24 November 2022.

Ujarnya, pada masa itu, Anwar hanya rakyat biasa tanpa sebarang jawatan rasmi dalam kerajaan.

Justeru, permohonan imuniti berdasarkan kedudukan sebagai Perdana Menteri tidak relevan untuk melindungi perbuatan peribadi sebelum memegang jawatan.

“Ini helah undang-undang untuk mengelak tanggungjawab masa lalu. Saya bimbang akan pola penindasan terhadap Muhammed Yusoff selepas pendedahannya.

“(Muhammed) Yusoff lulus ujian poligraf empat jam di Bukit Aman dan didapati bercakap benar, namun kemudiannya dikenakan pertuduhan jenayah berkaitan dadah dan senjata api,” katanya.

Beliau menambah, keadaan ini menimbulkan persoalan serius berkaitan penyalahgunaan kuasa dan menyerupai taktik membungkam saksi, bertentangan dengan prinsip keadilan yang kononnya diperjuangkan oleh kerajaan reformasi.

Sehubungan itu, Aireroshairi mendesak Anwar supaya menghentikan tindakan yang disifatkan memalukan dan berhadapan dengan mahkamah secara terhormat.

“Rakyat tidak memerlukan pemimpin yang lari daripada tanggungjawab, tetapi pemimpin yang berani menghadapi kebenaran,” katanya.

Beliau juga menggesa agar rakyat Malaysia terus memantau dan mendesak ketelusan dalam kes ini.

“Keadilan bukan hanya untuk yang berkuasa, tetapi untuk semua rakyat tanpa mengira pangkat dan darjat. Anwar perlu buktikan kelayakannya memimpin dengan berhadapan tuduhan secara berani, bukan bersembunyi di sebalik imuniti yang tidak wajar,” katanya.