GEORGE TOWN – Naib Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pulau Pinang, Fahmi Zainol menegaskan bahawa beliau tidak akan melepaskan jawatannya dalam Kerajaan Pulau Pinang kerana ia merupakan amanah parti kepadanya.
Fahmi berkata, beliau akan tetap setia kepada parti dan akan menuruti semua arahan yang diberikan kepadanya.
“Tiadalah (melepaskan jawatan Exco), saya ada pendirian saya sendiri. Ini kerana amanah yang diberikan ini adalah daripada parti, maka saya akan jalankan tugas saya sebagai Exco Kerajaan Pulau Pinang sehingga habis penggal.
“Ini adalah amanah parti, jadi saya akan turuti apa yang parti berikan kepada saya. Saya akan teruskan amanah ini,” katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di sini pada Khamis.
Fahmi yang merupakan Exco Agroteknologi, Keterjaminan Makanan dan Pembangunan Koperasi menambah bahawa beliau adalah ahli yang setia kepada parti dan tidak akan sesekali mengingkari kehendak parti.
“Saya ‘party man’. Parti mahu saya kekal, saya ikut. Parti kata ‘A’, saya ‘A’; parti kata ‘B’, saya ‘B’. Kita mahu politik stabil di Pulau Pinang, sebab itu saya patuh kepada parti.
“Tiada desakan (terhadap saya) pun. Semua dalam keadaan tenang,” katanya.
Sebelum ini, dalam pemilihan cabang PKR di Pulau Pinang, Fahmi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Jerejak dikecewakan apabila hanya meraih 181 undi berbanding 208 undi yang diperoleh Johari Kassim untuk jawatan Ketua Cabang Jelutong.
Fahmi turut bertanding bagi jawatan dalam Majlis Pimpinan Pusat (MPP) namun gagal dalam persaingan tersebut.
Selain itu, ketika pemilihan PKR berlangsung pada 23 Mei lalu, pasukan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli termasuk Fahmi, gagal meraih tempat dalam persaingan merebut jawatan penting dalam parti berkenaan.
Susulan itu, Rafizi mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Menteri Ekonomi berkuat kuasa 17 Jun ini.
Rafizi dalam satu kenyataan berkata beliau telah menghantar surat peletakan jawatan daripada Jemaah Menteri kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Selepas itu, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad turut mengikut jejak yang sama dengan meletak jawatan berkuat kuasa 4 Julai depan.