Menteri perlu letak jawatan serta-merta, jangan ‘test market’ politik - Peguam

SHAH ALAM - Tindakan dua menteri yang meletak jawatan anggota Kabinet, namun mahu mengambil cuti terlebih dahulu menimbulkan pelbagai persoalan berhubung prosedur sebenar pengunduran dalam kalangan anggota pentadbiran kerajaan.

Peguam, Datuk Shamsuddin Nawawi berkata, pelantikan menteri dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri dan lantikan tersebut adalah secara politik, bukan sebagai pegawai kerajaan yang terikat dengan peraturan di bawah Akta Perkhidmatan Awam.

Justeru, beliau menegaskan menteri tidak boleh menggunakan alasan menghabiskan baki cuti tahunan sebagai syarat sebelum meletak jawatan.

“Kalau hendak berhenti, tulis sahaja serta-merta dan tunggu sama ada Perdana Menteri terima atau tidak.

"Janganlah main 'test market' politik dengan meletak syarat mahu bercuti dahulu kerana masa cuti itu anda masih berstatus menteri,” jelasnya dalam satu kenyataan Facebook pada Khamis.

Tambah Shamsuddin, cuti menteri bukan seperti pegawai kerajaan yang perlu mengisi borang dan diluluskan oleh jabatan.

Sebaliknya, beliau menjelaskan kelulusan cuti menteri bergantung kepada Perdana Menteri sendiri.

Justeru, Shamsuddin menegaskan jika ada menteri berhasrat menghabiskan baki cuti tahunan sebelum meletak jawatan, perkara itu bukanlah prosedur rasmi yang perlu diikuti.

Sementara itu, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang), Datuk Zaid Ibrahim pula menyatakan bahawa kesan keputusan peletakan jawatan seorang menteri adalah berkuat kuasa serta-merta tanpa perlu menunggu tempoh cuti tahunan habis digunakan.

“Cuti yang diambil adalah hak menteri, tetapi ia tidak bermakna pengunduran jawatan masih tergantung sehingga cuti tersebut digunakan sepenuhnya,” katanya.

Datuk Zaid turut mempersoalkan kenyataan Perdana Menteri mengenai tiada pelantikan jawatan pemangku bagi setiap portfolio kementerian yang meletak jawatan.

Beliau mengambil contoh portfolio Kementerian Ekonomi dan Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam yang digalas Datuk Seri Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad ketika ini serta dianggap antara portfolio kementerian kanan.

Kata Zaid lagi, walaupun tidak ada konvensyen ketat bagi penggantian segera, portfolio penting seperti kementerian kewangan, ekonomi dan pertahanan seharusnya dilantik pengganti atau pemangku menteri bagi memastikan kesinambungan pentadbiran.

“Kalau tiada calon sesuai, adalah wajar melantik menteri penjaga sementara (pemangku). Kecuali langkah ini mungkin cara Perdana Menteri, (Datuk Seri) Anwar Ibrahim menyatakan portfolio Rafizi dan Nik Nazmi tidak kritikal,” tambahnya.

Terdahulu, Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan mengumumkan keputusan peletakan jawatannya berkuatkuasa 17 Jun depan, diikuti Nik Nazmi berkuat kuasa 4 Julai ini.

Keputusan yang dibuat Rafizi dan Nik Nazmi itu atas alasan mereka tidak lagi mendapat mandat parti susulan kekalahan bagi pertandingan jawatan Timbalan Presiden dan Naib Presiden PKR.