JOHOR BAHRU – Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) PKR akan memberi amaran keras kepada calon Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli susulan tindakan beliau mengumumkan senarai penuh ‘cai’ pilihannya sebelum pemilihan pada Jumaat.
Pengerusinya, Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata, langkah tersebut disifatkan bercanggah dengan Garis Panduan Pemilihan 2025 yang telah ditetapkan oleh JPP.
“Kita sudah menegaskan dalam MPP bahawa JPP akan mengambil tindakan ke atas mana-mana aduan termasuk kempen sendiri.
"Buat masa ini, JPP akan memberikan amaran keras kepada pihak-pihak yang terbabit.
"Seterusnya aduan ini akan diangkat kepada Jawatankuasa Disiplin dan itu adalah keputusan yang telah dipersetujui Majlis Perwakilan Pusat (MPP)," katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi taklimat media Kongres Nasional Keadilan PKR 2024/2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada di sini pada Khamis.
Hadir sama, Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Dr Fuziah Salleh; Ketua Penerangan PKR, Datuk Fahmi Fadzil dan Pengerusi Lembaga Disiplin PKR, Datuk Ahmad Kasim.
Sebelum itu pada Rabu, Rafizi dilaporkan mengumumkan senarai 'cai' pilihannya membabitkan beberapa jawatan penting parti itu.
Bagi perebutan empat slot Naib Presiden, Rafizi menyenaraikan empat nama yang menjadi pilihannya daripada senarai 12 calon yang mengesahkan bertanding.
Mereka ialah Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang; Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad; Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Aminuddin Harun dan Setiausaha Politik kepada Presiden PKR, G Manivanan.
Walaupun penggunaan ‘cai’ dalam bentuk digital dibenarkan secara terhad, pengumuman terbuka dan agresif Rafizi melalui Facebook memperlihatkan unsur kempen berkumpulan yang dilarang keras.
Dalam pada itu, Dr Zaliha yang juga Menteri Wilayah telah mengarahkan kain rentang calon yang diletakkan di kawasan pusat pemilihan diturunkan.
"Kita telah adakan lawatan di lokasi berlangsungnya kongres, ada beberapa 'banner' dinaikkan di kawasan pengundian dan kita telah minta diturunkan
"Calon-calon juga telah diarahkan mengeluarkan 'banner' bahan kempen keluar dari kawasan pengundian," ujarnya.