JOHOR BAHRU – [DIKEMAS KINI] Ketua Sekretariat Pakatan Harapan, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, melahirkan kebimbangan terhadap masa depan Datuk Seri Rafizi Ramli dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) selepas kekalahan beliau dalam perebutan jawatan Timbalan Presiden kepada Nurul Izzah Anwar.
Dalam ucapan penuh emosi ketika sesi penggulungan Kongres Nasional PKR 2025, Saifuddin menyifatkan Rafizi sebagai antara 'bakat terbaik' dalam PKR dan menyuarakan kebimbangan bahawa parti mungkin akan kehilangan khidmat serta sumbangan besar beliau.
“Saya anggap Rafizi seperti adik sendiri. Kami tidak selalu sependapat, termasuk tentang kelayakan ahli baharu bertanding jawatan parti tetapi saya tak pernah ragu tentang kemampuan dan integriti beliau.” katanya.
Saifuddin turut berkongsi kenangan ketika beliau mencadangkan nama Rafizi kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk jawatan CEO sewaktu Anwar menjadi Penasihat Ekonomi Selangor.
“Saya kata kepada Anwar, jika mahu yang terbaik, maka pilihlah Rafizi dan beliau buktikan kemampuannya sejak itu.” jelasnya.
Tambah bekas Setiausaha Agung PKR itu lagi, meskipun ramai ahli menumpukan strategi untuk menang dalam pemilihan parti, beliau lebih banyak duduk berbincang dengan Rafizi dan Nurul Izzah tentang masa depan PKR pasca pemilihan.
Justeru, Saifuddin menggesa Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, agar bertindak sebagai ‘bapa kepada semua’, bukan sekadar kepada Nurul Izzah, dan berperanan menyatukan semula parti serta memujuk hati ahli-ahli yang terluka selepas pemilihan.
“Datuk Seri perlu memujuk bukan hanya satu pihak. Ada yang luka parah. Jangan lupa, ramai di akar umbi yang sentiasa komited, mereka juga mahu didengar dan dihargai.” ujarnya.
Saifuddin ingatkan Nurul Izzah tentang PRN Sabah
Dalam pada itu, Saifuddin turut mengingatkan Nurul Izzah mengenai persiapan Pilihan Raya Negeri (PRN)Sabah.
"Saya hendak smpaikan pesanan kepada pimpinan Majlis Pimpinan Parti (MPP) bermula dari Nurul Izzah. Jawab soalan pertama 'what a different and how make a different' apabila kamu diberi amanah.
"Tiada masa untuk berehat. Sebelum ke Melaka, atur dulu langkah. Sabah sedang menanti. Runding dengan parti sahabat, kurangkan pertembungan, cerah untuk kita menang. PRN Sabah tak sama impaknya dengan pilihan raya umum. Kita bawa harapan,"katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa gelombang sokongan rakyat kini semakin dirasai apabila ramai sukarelawan dan penyokong dari seluruh negara mula turun padang, termasuk dari Negeri Sembilan, Pulau Pinang serta beberapa negeri lain.
“Mereka tinggal di homestay, sanggup datang dari jauh, malah belum dikira lagi penyokong dari Sabah dan Sarawak sendiri. Mereka datang dengan satu harapan mahu perubahan, mahu kestabilan,” katanya.
Sementara itu, beliau turut mengingatkan Ahli MPP baharu dipilih tidak leka selepas diberi mandat dan menyedari tanggungjawab besar yang bakal dipikul.
“Bila undi sudah diberi, bila jawatan disandang, kita kena sedar diri. Ini bukan tentang jawatan semata-mata, tapi harapan rakyat yang kita galas," ujarnya.