SHAH ALAM – [DIKEMAS KINI] Meskipun menyedari nasib Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkait rapat dengan perjalanan Parti Keadilan Rakyat (PKR), bekas penyandang Timbalan Presiden parti itu, Datuk Seri Rafizi Ramli percaya asas keberadaan parti tersebut hakikatnya melebihi Anwar atau mana-mana individu.
Jelasnya, dengan pemimpin silih berganti, beliau berpandangan bahawa asas perjuangan dan idealisme PKR perlu terus kekal.
Tambah Rafizi, keputusan pihaknya menyertai gerakan reformasi sebelum tertubuhnya PKR pun adalah atas dasar idealisme, dengan Ahli Parlimen Pandan itu ingin melihat perubahan kerajaan berlaku secara demokratik buat kali pertama atas kepercayaan bahawa wujudnya nilai persaingan.
"Rakyat berhak mendapat barisan kepimpinan terbaik untuk mentadbir negara. Persaingan mengangkat nilai merit dan memastikan ahli politik kekal bertanggungjawab. Perkara itu juga merupakan penawar kepada rasuah berleluasa.
"Saya percaya kepada sebuah Malaysia yang berbilang kaum dan progresif kerana masyarakat berbilang kaum membuka ruang kepada persaingan sihat. Persaingan pula mempersiapkan kita untuk menjadi anggota unggul dalam pasaran global.
"Saya menyertai PKR kerana idealisme tersebut. Saya tidak menyertainya untuk mengejar jawatan, kedudukan menteri, apatah lagi kepentingan kewangan. Saya sedar bahawa nasib Anwar Ibrahim berkait rapat dengan perjalanan PKR, namun saya percaya bahawa keberadaan PKR melebihi Anwar atau mana-mana individu," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Pada Jumaat, proses pemilihan yang berlangsung bersekali dengan Kongres Nasional PKR 2025 menyaksikan beberapa perubahan dalam barisan kepimpinan utama parti termasuk kekalahan beberapa penyandang jawatan.
Sebelum ini, Naib Presiden, Nurul Izzah Anwar disahkan menewaskan Rafizi dan merampas jawatan sebagai Timbalan Presiden parti.
Selain Rafizi, pemimpin utama PKR lain yang turut tewas adalah Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad yang kalah dalam perebutan empat slot utama jawatan Naib Presiden.
Keputusan rasmi jawatan Timbalan Presiden PKR itu diumumkan Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa dalam Kongres Nasional Keadilan di Persada Johor International Convention Centre, Johor Bahru.
Nurul Izzah, yang juga bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh, memperoleh 9,803 undi untuk menewaskan penyandang jawatan itu, Datuk Seri Rafizi Ramli, yang meraih 3,866 undi.
Mengulas lanjut, Rafizi menegaskan bahawa fokus pengekalannya bersama PKR selama 27 tahun, satu tempoh lebih lama daripada ramai tokoh pengasas dan pemimpin kanan parti, adalah kerana beliau yakin bahawa parti berkenaan masih dalam proses pembangunan.
Ulasnya, PKR telah menyumbang secara signifikan kepada kematangan politik rakyat Malaysia, bagaimanapun parti itu masih belum mencapai idealisme perjuangan yang diimpikan.
"Saya tidak pernah percaya bahawa jawatan dalam kerajaan ialah satu-satunya jalan untuk merealisasikan cita-cita tersebut.
"Sebaliknya, masyarakat harus berubah lebih pantas daripada kerajaan sekiranya kita ingin menjayakan impian sebuah Malaysia yang berbilang kaum dan progresif – sebuah cita-cita yang masih dalam perjalanan," katanya.