Anwar seru pimpinan, ahli PKR perkukuh organisasi, persiapkan diri hadapi pilihan raya

KUALA LUMPUR - Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru semua pimpinan dan ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk memperkuat organisasi, memperluas jaringan dan mempersiapkan diri menghadapi Pilihan Raya Umum akan datang.

Perdana Menteri berkata, PKR bukan sekadar parti politik, ia suatu wadah gerakan rakyat yang membawa suara perubahan sebenar.

"Saya mengajak seluruh pimpinan dan anggota PKR untuk terus menjadi suara rakyat yang menderita, pembela kepada yang lemah dan penegak kepada nilai kebenaran, meski jalannya tidak mudah serta perjuangannya panjang,” kata beliau menerusi hantaran di Facebook.

Anwar berkata, ucapan dasar Presiden PKR dalam Kongres Nasional Tahunan PKR 2024/2025 semalam, bukan sekadar sebagai rangkuman dasar-dasar kerajaan, tetapi sebagai seruan dan tekad perjuangan untuk memastikan PKR terus menjadi obor harapan rakyat.

Perdana Menteri berkata, PKR juga harus menjadi benteng yang tegas menolak politik kebencian, fitnah dan perkauman sempit yang hanya memecah belahkan rakyat dan melemahkan negara.

"Saya menegaskan bahawa perjuangan reformasi mesti diteruskan tanpa gentar memperkukuh integriti, menolak rasuah dalam apa jua bentuk dan memastikan tadbir urus negara berteraskan prinsip keadilan, ketelusan, dan akauntabili.

"Reformasi bukan soal gopoh atau populariti semata. Ia menuntut kebijaksanaan, kesabaran dan strategi yang jelas. Kita harus belajar daripada tokoh sejarah seperti Umar Abdul Aziz dan Václav Havel, yang membuktikan bahawa perubahan yang bertahan adalah perubahan yang dilakukan dengan kesungguhan dan hikmah,” kata beliau.

Menerusi catatan itu, Anwar merakamkan penghargaan kepada tokoh-tokoh PKR seperti Timbalan Presiden PKR sebelum ini Datuk Seri Rafizi Ramli dan Timbalan Presiden PKR yang baharu Nurul Izzah Anwar, yang tidak pernah berhenti menyumbang tenaga dan idea demi parti dan rakyat.

"Perbezaan pandangan harus diraikan dengan hikmah, bukan dijadikan alasan untuk memecahbelahkan. Kita bukan musuh antara satu sama lain sebaliknya saudara dalam perjuangan yang sama,” kata beliau.

Selain itu, Perdana Menteri menekankan pentingnya sokongan berterusan rakyat terhadap pencapaian dan hala tuju Ekonomi MADANI yang sedang digerakkan, termasuk peningkatan pelaburan asing dan domestik yang menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi yang mapan.

Beliau berkata, kerajaan turut melaksanakan reformasi subsidi secara bersasar yang lebih adil dan menyeluruh, mengurangkan kebergantungan negara kepada hasil minyak demi kemampanan jangka panjang, memberi tumpuan khusus kepada kesejahteraan rakyat termasuk peningkatan gaji penjawat awam serta perlindungan untuk golongan miskin.

"Kerajaan Madani akan terus memacu reformasi struktur yang memperkukuh sektor pendidikan, kesihatan dan perumahan rakyat. Inisiatif seperti Program Sumbangan Tunai Rahmah serta pelbagai kemudahan asas luar bandar, manifestasi komitmen kita untuk membela nasib rakyat terbanyak,” kata beliau.

Pemilihan kepimpinan pusat yang diumumkan pada Kongres Nasional Tahunan PKR semalam, menyaksikan Anwar menang tanpa bertanding jawatan Presiden, manakala Nurul Izzah menang Timbalan Presiden setelah mengalahkan Rafizi. - Bernama