LANGKAWI – Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui persaingan dalam pemilihan parti kali ini sengit, namun menegaskan bahawa semua calon perlu kembali bersatu dan saling bermaaf-maafan selepas proses pemilihan selesai.
Menurut Anwar, meskipun berlaku pertembungan dalam parti, semua calon yang bertanding adalah individu yang telah banyak berjasa kepada perjuangan PKR sejak awal penubuhannya.
“Sesetengah persaingan itu sengit betul, macam nak runtuh gunung-gunung. Tetapi selesai, kita patut bersatu semula dan saling bermaaf-maafan.
“Yang bertarung itu orang-orang berjasa. Jadi jangan ambil sikap bermusuh. Meskipun ada sedikit perbezaan pendapat, kita perlu ada ihsan dan kasih sayang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Perasmian Pejabat PKR Cabang Langkawi, di sini pada Isnin.
Pemilihan PKR bagi penggal kali ini menyaksikan jawatan Timbalan Presiden yang disandang Datuk Seri Rafizi Ramli. Ahli Parlimen Pandan itu dicabar oleh Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar.
Setakat ini, majoriti pimpinan cabang PKR di seluruh negara menyatakan sokongan secara terbuka kepada Nurul Izzah bagi merebut kerusi nombor dua parti.
Anwar dalam pada itu mengingatkan semua ahli agar tidak menambah ketegangan dalam proses pemilihan, sebaliknya mengutamakan semangat kekeluargaan.
“Kita jangan tambah suhu kehangatan. Leraikan perbezaan dengan baik. Apa pun pandangan kita, jangan sesekali nafikan jasa dan sumbangan besar mereka yang bertanding.
“Sebahagiannya telah berkorban dan bekerja jauh lebih awal daripada kita semua,” katanya lagi.
Jelas Anwar, beliau tidak berasa gusar dengan kehangatan pemilihan kali ini kerana percaya semua yang terlibat adalah sahabat lama serta pejuang asal PKR.
“Orang lain mungkin susah hati, saya tidak sangat susah hati. Yang bertanding ini sahabat-sahabat lama, sahabat setia, dan sebahagian besar mereka adalah pejuang awal parti,” katanya.